SERDANG: Pelakon filem KL Gangster, Soffi Jikan memohon doa peminat agar rawatan antibiotik yang dilakukan memberi kesan positif terhadap masalah jantungnya.
Memetik laporan Berita Harian, ketika ini, Soffi atau nama penuh, Mohamad Shoffi Jikan, 54, sedang menjalani rawatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, akibat jangkitan kuman pada jantung.
Soffi berkata, jika penggunaan antibiotik tidak berjaya, dia perlu menjalani pembedahan.
“Sekiranya pengambilan antibiotik tidak memberi kesan, senario terburuk adalah saya perlu jalani pembedahan.
“Doakan saya tidak perlu jalani prosedur itu. Itu saja harapan dan doa saya. Saya memang berharap sangat antibiotik itu memberi kesan dan serahkan semuanya pada Allah SWT,” katanya menerusi mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada BH Online.
Soffi yang sudah hampir sebulan dirawat di HSIS berkata, perjalanan untuk sembuh masih jauh.
Akibat bosan berada terlalu lama dirawat di hospital, Soffi sering melayan peminat menerusi sesi langsung di platform TikTok.
“Saya live sebab terlalu tertekan dan bosan sebab sudah hampir sebulan di hospital.
“Sebelum ini, saya dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Ditanya lebih lanjut mengenai masalah kesihatan dihadapi, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 itu bagaimanapun enggan berkongsi.
“Setakat ini sahaja jawapan saya,” katanya.
Sebelum ini, Soffi dilapor menghidap demam teruk selepas pulang dari Sabah awal bulan ini, dipercayai akibat denggi dan kencing tikus.
Soffi kemudian dilapor menyambung kerja penggambaran di Johor sebelum berangkat ke Padang Besar, Perlis dan mengalami strok haba.
Soffi kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan kuman sebelum dipindahkan ke HSIS, Serdang. – BH Online –
IMedikel TV






