Home Buletin Semasa JAKIM TEGAS HICD TIADA KAITAN, BUKAN PIHAK BERKUASA PENSIJILAN HALAL

JAKIM TEGAS HICD TIADA KAITAN, BUKAN PIHAK BERKUASA PENSIJILAN HALAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa platform media sosial Halal Inquiry Company Direktori (HICD) tidak mempunyai sebarang hubungan dengan agensi itu dan tidak pernah dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penegasan itu dibuat susulan perkongsian kandungan serta kenyataan berkaitan isu halal yang disiarkan HICD mengenai sebuah syarikat baru-baru ini.

“Sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, siasatan, penilaian atau kesimpulan yang dibuat dan disiarkan oleh HICD adalah atas kapasiti pihak berkenaan sendiri dan tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM.

“JAKIM memandang serius sebarang perkongsian berkaitan isu halal yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila ia melibatkan status Pensijilan Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Katanya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal perlu dilaksanakan berasaskan fakta, secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti.

“Perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang membentuk keharmonian Malaysia.

“Justeru, penyampaian berkaitan isu halal hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab, hikmah dan berhemah,” katanya.

Sehubungan itu, JAKIM menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan maklumat berkaitan status halal yang belum disahkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan mendapatkan pengesahan mengenai status Pensijilan Halal Malaysia menerusi Portal Rasmi Halal Malaysia dan saluran rasmi JAKIM,”katanya.

JAKIM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan kefahaman masyarakat mengenai isu halal disampaikan secara tepat, berautoriti dan berlandaskan fakta yang sahih demi kemaslahatan serta kesejahteraan ummah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here