Home Buletin Semasa SINDIKET DADAH RM8.49 JUTA TUMPAS, DUA SUSPEK DITAHAN

SINDIKET DADAH RM8.49 JUTA TUMPAS, DUA SUSPEK DITAHAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Mei lalu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Masai dan Taman Ehsan Jaya, di sini, 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seberat 96.76 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM8.49 juta.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri di Masai, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun selain merampas sejumlah besar dadah.

“Antara yang dirampas ialah pil Erimin 5 seberat 41.74kg bernilai RM4.174 juta, 53,000 biji pil ekstasi seberat 23.11kg bernilai RM3.47 juta, 290 paket plastik disyaki serbuk ekstasi bernilai RM87,000, 13 paket plastik disyaki ketamin bernilai RM590,000 serta dua paket serbuk MDMA bernilai RM178,500.

“Polis turut menyita empat kereta, sebuah motosikal dan wang tunai RM100,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM9.44 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ab. Rahaman berkata, serbuan kedua di Taman Ehsan Jaya pula tidak menemukan sebarang dadah, namun polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor, manakala suspek kedua dipercayai pembantu kepada dalang sindiket yang bertanggungjawab membayar gaji suspek utama.

“Modus operandi sindiket adalah menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah sebelum bekalan berkenaan diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu digunakan oleh kira-kira 392,098 orang.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here