Home Buletin Semasa EMPAT OPERASI IMIGRESEN, SEMBILAN PATI DITAHAN DI TERENGGANU

EMPAT OPERASI IMIGRESEN, SEMBILAN PATI DITAHAN DI TERENGGANU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA TERENGGANU: Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam empat operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu di sekitar Kuala Nerus, Setiu, Besut dan Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Operasi Sapu, Ops Belanja, Ops Hijau dan Ops Selera itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu bermula jam 8 pagi dengan pemeriksaan di lapan lokasi membabitkan tapak pembinaan, rumah pekerja, rumah kediaman dalam pembinaan, chalet, tapak semaian serta premis makanan.

Menurut kenyataan JIM Terengganu menerusi laman rasmi hari ini, seramai 31 individu diperiksa bagi memastikan dokumen perjalanan dan status imigresen mereka.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan sembilan PATI terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan berusia antara 23 hingga 47 tahun.

“Mereka membabitkan empat warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan, dua lelaki warga Bangladesh serta tiga warga Thailand terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk tidak memiliki pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas,” menurut kenyataan itu.

JIM Terengganu berkata, tangkapan dilakukan di beberapa lokasi termasuk sekitar Jalan Gong Badak dan Wakaf Tembesu, Kuala Nerus; Kampung Saujana, Permaisuri; Kuala Besut serta sebuah premis makanan di FELDA Belara, Kuala Terengganu.

“Selain itu, satu saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kesemua tahanan kemudian dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Operasi berkenaan turut disertai Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Mat Amin Hassan.

JIM Terengganu menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di lokasi pekerjaan, kediaman dan premis perniagaan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di negeri itu.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here