Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Aduan ringkas seorang murid perempuan berusia lapan tahun yang mengalami gangguan penglihatan pada sebelah mata akhirnya membawa kepada penemuan masalah kesihatan serius, sekali gus menyelamatkannya daripada risiko kehilangan penglihatan kekal.
Pakar Pediatrik Otorinolaringologi (ORL) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr Azliana Aziz berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak berkenaan mengalami radang pada sinus sphenoid, iaitu ruang sinus yang terletak jauh di bahagian belakang hidung dan sangat hampir dengan saraf optik.
Menurutnya, keradangan itu menyebabkan tekanan terhadap saraf optik sebelah kanan sehingga menjejaskan penglihatan kanak-kanak terbabit.

“Keadaan berkenaan dikenali sebagai compressive optic neuropathy, iaitu gangguan fungsi atau kerosakan saraf optik akibat tekanan fizikal terhadap saraf berkenaan.
“Jangan sesekali menganggap remeh apabila seorang anak mengadu penglihatannya terganggu. Kadangkala, di sebalik satu aduan yang kelihatan kecil, tersembunyi satu keadaan kecemasan yang memerlukan tindakan pantas,” katanya.
Dr Azliana berkata, masalah sinus sering dianggap sebagai keadaan biasa, namun kedudukan sinus sphenoid yang berhampiran saraf optik dan beberapa struktur penting lain menjadikan komplikasi di kawasan itu berisiko tinggi sekiranya tidak dikesan serta dirawat segera.
Katanya, dalam kes berkenaan, perubahan penglihatan menjadi petunjuk penting yang mendorong kanak-kanak itu menjalani penilaian lanjut oleh pasukan Oftalmologi dan Otorinolaringologi (ENT).
“Dalam keadaan yang melibatkan mampatan saraf optik, kelewatan rawatan boleh membawa kepada kerosakan penglihatan kekal atau irreversible optic atrophy.
“Justeru, setiap minit amat berharga,” katanya.
Susulan penilaian dan perbincangan pasukan multidisiplin, pembedahan kecemasan dilakukan bagi melegakan tekanan terhadap saraf optik berkenaan.
Dr Azliana bersama pasukannya menjalankan prosedur Right Transnasal Sphenoidotomy, iaitu pembedahan membuka sinus sphenoid yang terlibat melalui laluan hidung.
Pembedahan secara endoskopi itu tidak memerlukan sebarang luka atau potongan pada wajah pesakit kerana kawasan sinus berkenaan boleh dicapai terus melalui rongga hidung.


“Semasa pembedahan, rongga hidung didapati bersih tanpa nanah, polip atau ketumbuhan yang jelas, namun terdapat penebalan tisu dalam sinus sphenoid yang terlibat.
“Sampel tisu kemudian dihantar untuk pemeriksaan lanjut termasuk histopatologi (HPE) dan ujian mikrobiologi bagi mengenal pasti kemungkinan punca jangkitan atau keradangan,” katanya.
Lebih melegakan, hasil rawatan menunjukkan perkembangan positif hanya sehari selepas pembedahan apabila pemeriksaan pakar mata mendapati penglihatan mata kanan kanak-kanak itu kembali kepada 6/6.
Dr Azliana berkata, kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan selesa pada hari pertama selepas pembedahan, tanpa sakit kepala atau pendarahan hidung yang ketara, manakala tanda-tanda vitalnya stabil.
“Bagi seorang doktor, 6/6 adalah bacaan klinikal. Tetapi bagi seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, 6/6 bermakna dia dapat kembali melihat wajah ibu bapanya, membaca dan menikmati dunianya,” katanya.
Beliau berkata, kes itu memberi tiga pengajaran penting kepada masyarakat, khususnya ibu bapa, iaitu tidak mengabaikan aduan anak, mendapatkan rujukan awal serta memastikan rawatan diberikan dengan pantas melalui kerjasama pasukan multidisiplin.
Katanya, kanak-kanak mungkin tidak mempunyai kosa kata yang cukup untuk menerangkan keadaan yang dialami dan hanya mampu memberitahu seperti “tak nampak”, “mata saya pelik” atau “macam kabur”.
“Jika anak mengadu perubahan penglihatan, terutama jika berlaku secara tiba-tiba atau hanya melibatkan sebelah mata, jangan anggap ia perkara biasa.
“Dengar aduan mereka, periksa dan dapatkan bantuan perubatan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan rawatan kes itu turut membuktikan kepentingan kerjasama pelbagai disiplin termasuk pasukan ENT, Oftalmologi, Radiologi, Anestesia serta pegawai perubatan dan jururawat dalam memastikan diagnosis, pembedahan dan pemantauan selepas rawatan dapat dilakukan dengan pantas serta berkesan.
Dr Azliana bagaimanapun menegaskan komplikasi serius penyakit sinus terhadap saraf optik adalah jarang berlaku dan kisah berkenaan bukan bertujuan menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa.
Sebaliknya, beliau mahu masyarakat lebih peka terhadap tanda amaran seperti kehilangan atau perubahan penglihatan secara tiba-tiba, penglihatan sebelah mata berkurangan, sakit mata, bengkak di sekitar mata, sakit kepala luar biasa atau gejala neurologi baharu.
“Jangan tunggu beberapa hari dengan harapan ia akan pulih sendiri dan jangan terus menganggap ia hanya rabun biasa.
“Kadangkala anak adalah orang pertama yang menyedari sesuatu tidak kena pada tubuhnya. Mereka mungkin tidak tahu nama penyakit atau lokasi saraf optik, tetapi mereka tahu satu perkara iaitu mereka tidak dapat melihat seperti biasa.
“Dengarkan apabila anak mengadu. Jangan abaikan perubahan yang luar biasa, rujuk lebih awal dan bertindak pantas apabila masa menjadi pertaruhan,” katanya.
IMedikel TV






