Home Hiburan “NANTI KALAU LAMBAT VIDA, ORANG ‘CARAS’ LELAKI KAU. – ALIFF SYUKRI

“NANTI KALAU LAMBAT VIDA, ORANG ‘CARAS’ LELAKI KAU. – ALIFF SYUKRI

KUALA LUMPUR: “Kalau betul suka, lebih baik dipercepatkan.”

Demikian nasihat usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman buat rakan seperjuangan, Datuk Seri Vida atau Hasmiza Othman yang sejak akhir-akhir ini dilihat menjalin hubungan istimewa dengan Datuk Fazley Yaakob.

Memetik laporan Berita Harian, Aliff berkata, jika Vida serius dalam menyulam cinta bersama Fazley yang juga penyanyi dan cef selebriti, lebih baik dia membawa perhubungan itu ke fasa berikutnya, iaitu perkahwinan.

“Sejujurnya, ada orang yang tidak senang dan ada orang yang senang. Bagi saya, kalau perkara ini betul-betul menuju ke arah yang serius, eloklah dipercepatkan memandangkan kita sudah berusia. Malah, ini juga boleh menjadi contoh yang terbaik untuk anak-anak.

“Sebagai seorang sahabat, saya nampak mereka bukan main mesra lagi. Jadi, kalau dapat makan nasi minyak lebih cepat, lagi bagus. Sebab mulut orang, kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui BH Online di Balai Berita di sini, semalam.

Alif juga menasihati Vida supaya berhenti bermain tarik tali kerana bimbang jika hati Fazley akan berpaling kepada wanita lain.

“Nanti kalau lambat Vida, orang ‘caras’ lelaki kau. Jadi, daripada duduk ‘live’ manja dan bersayang-sayang, lebih baik percepatkan. Sebab ada yang tengok dengan mata lalat dan ada yang tengok dengan mata lebah,” katanya.

Aliff mengakui menghubungi Vida, baru-baru ini bagi mendapatkan kepastian mengenai hubungan dengan Fazley yang menjadi bualan ramai.

“Saya ada telefon dia baru-baru ini. Saya kata, kakak, betul ke ini semua atau sekadar gimik.

“Tetapi, dia hanya meminta saya untuk menekanya,” katanya.

Mengulas mengenai pandangannya sebagai sahabat Vida, Aliff berkata, soal percintaan adalah hak Vida dan Fazley, apatah lagi kedua-duanya pernah melalui alam perkahwinan sebelum ini.

“Bagi saya, mereka hendak bercinta itu hak mereka. Seorang duda, seorang janda. Jadi, okay sahaja kalau mereka hendak berkahwin, tidak ada masalah. Kita doakan yang terbaik.

“Kita sebagai sesama orang Islam, kita tengok mereka dan mungkin boleh doakan supaya mereka cepat-cepat dapat jodoh. Lepas sudah berjodoh, dapat ‘baby’ lagi. Cik B (anak Vida) juga akan dapat adik lagi,” katanya.

Aliff mengakui gembira melihat rakannya kembali menemui kebahagiaan selepas sekian lama melalui kehidupan sendirian.

“Tapi bila tengok betul-betul, sudah bersayang-sayang dan saling berpegangan, saya lihat ini serius. Jadi, kita sebagai seorang sahabat ini tumpang gembira sebab dia pun sudah lama kesunyian.

“Harap-harapnya Fazley janganlah mainkan perasaan kakak saya. Kesian dia. Cukuplah sebelum ini, kalau boleh cepatkanlah,” katanya.

Sebelum ini, hubungan antara Vida dan Fazley mencuri perhatian ramai apabila sering memperlihatkan kemesraan terutama di media sosial.

Pasangan itu yang sebelum ini saling berbalas panggilan sayang dilihat sedang dalam fasa percintaan serius, malah, ada peminat merestui andai mereka mahu meneruskan perhubungan ke fasa serius dengan mendirikan rumah tangga. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here