Oleh: Nur Athirah Azman @ IMedikel TV
Setiap orang mengimpikan tubuh badan yang sihat, namun tidak ramai menyedari bahawa usus sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan menyeluruh.
Secara asasnya, usus terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu usus kecil dan usus besar. Usus kecil berfungsi mencernakan makanan, manakala usus besar menyerap air serta mineral di samping menyingkirkan sisa buangan (najis) daripada tubuh.
Bagi yang belum mengetahui, usus ialah organ berbentuk tiub yang menyambungkan laluan makanan dari mulut hingga ke dubur.
Justeru, penjagaan usus tidak boleh diabaikan kerana ia adalah asas utama kepada menjamin kesihatan tubuh badan.
Bagaimana cara menjaga kesihatan usus?
Menurut portal kesihatan Hello Doktor, antara bahan penting yang boleh diamalkan untuk mengekalkan kesihatan usus ialah prebiotik dan probiotik.
Prebiotik bertindak sebagai makanan kepada bakteria baik dalam usus, manakala probiotik pula merupakan bakteria hidup yang bermanfaat untuk sistem pencernaan.
Selain itu, tabiat pemakanan juga memainkan peranan besar. Mengunyah makanan secara perlahan membantu proses penghadaman lebih sempurna serta menyokong fungsi usus yang sihat.
Pengambilan air yang mencukupi amat penting bagi memastikan usus sentiasa terhidrat. Setiap individu digalakkan minum air dalam jumlah yang seimbang serta tidak berlebihan.
Tahap stres yang tinggi turut memberi kesan negatif kepada usus. Oleh itu, pengurusan tekanan perlu diberi perhatian melalui rehat yang cukup serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Di samping itu, diet seimbang yang terdiri daripada protein tanpa lemak serta makanan berasaskan tumbuhan dan herba juga memberi impak positif terhadap kesihatan usus serta tubuh badan secara keseluruhan.
IMedikel TV






