GAZA: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian tentera Israel didakwa mencabuli gencatan senjata yang bermula sejak Oktober lalu dengan mengeluarkan arahan pemindahan paksa terhadap puluhan keluarga Palestin di selatan Gaza.
Arahan dikeluarkan pada 20 Januari itu menyaksikan tentera rejim mula memperluas kawasan mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan kumpulan Hamas.
Menurut penduduk di Bani Suhaila, timur Khan Yunis, risalah amaran dijatuhkan pihak berkuasa Israel di kawasan kejiranan Al-Reqeb yang menjadi lokasi perkhemahan keluarga pelarian.
Risalah yang ditulis dalam bahasa Arab, Ibrani dan Bahasa Inggeris itu mendesak penduduk segera mengosongkan kawasan itu yang kini berada di bawah kawalan penuh tentera.
Langkah itu adalah yang pertama seumpamanya sejak gencatan senjata fasa pertama yang dipersetujui menerusi rundingan Amerika Syarikat (AS) tiga bulan lalu.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmoud berkata, sekurang-kurangnya 70 keluarga yang tinggal di khemah dan rumah yang rosak terkesan akibat arahan terbaharu itu.
Katanya, ini adalah kali keempat atau kelima tentera rejim bertindak memperluas garisan kawalan mereka ke dalam wilayah Palestin sejak bulan lalu.
Setiap kali pergerakan itu berlaku, tentera Israel dilaporkan merampas antara 120 hingga 150 meter tanah ke dalam kawasan yang sepatutnya berada di bawah kawalan Palestin.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Al-Thawabta berkata, tindakan berkenaan menyebabkan kira-kira 9,000 penduduk hilang tempat tinggal setakat ini.
Katanya, 3,000 penduduk lagi terjejas secara langsung akibat risalah amaran yang dijatuhkan pada Isnin lalu yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada polisi intimidasi terhadap orang awam.
Situasi ini juga mengganggu bantuan kemanusiaan dan meningkatkan tekanan di kawasan perlindungan yang sedia ada yang jumlahnya terhad di wilayah berkenaan.
Tentera Israel sebelum ini mendakwa mereka hanya melepaskan tembakan selepas mengenal pasti individu yang dianggap ancaman cuba melintasi garisan kawalan mereka.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, lebih 460 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, manakala jumlah korban keseluruhan sejak konflik meletus pada 2023 kini mencecah 71,000 orang. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






