Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ketua Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) Irfan Bakti Abu Salim bakal mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan sebaik menerima lamaran daripada Presiden KRWFC, Nik Hafiz Naim Nik Hasan.
Irfan berkata, Kelantan mempunyai pemain dan penyokong bola sepak yang begitu menggila dan pernah menjadi pelopor kegilaan bola sepak di Malaysia.
“Kita akan memilih pemain-pemain yang berkualiti untuk memastikan misi tercapai, kita tidak mahu ada penumpang dalam pasukan kita.
“Sudah tentu saya sendiri yang akan memilihnya dan kita juga menginginkan pemain yang berpengalaman untuk membimbing pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis memperkenalkan Ketua Jurulatih KRW, di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Beliau yang berusia 74 tahun itu pernah melatih pasukan Terengganu, Selangor dan Kuching City turut diberi kebebasan penuh untuk memilih pemain bagi menghadapi saingan Liga A1, musim ini.
Irfan akui tanggungjawab yang bakal digalas itu bukan sesuatu yang mudah, namun beliau tekad menyahut cabaran itu demi mencapai matlamat untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu.
Menurutnya beliau terbuka hati dan bersetuju menerima tawaran dari KRWFC bukan disebabkan soal bayaran menjadi keutamaan, sebaliknya cabaran bagi membina, melatih dan membawa pasukan dari bawah ke persada Liga M menjadi faktor utama.
IMedikel TV






