Home Sukan IRAN RUNDING PINDAH AKSI PIALA DUNIA KE MEXICO

IRAN RUNDING PINDAH AKSI PIALA DUNIA KE MEXICO

70
0

MEXICO CITY: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Persekutuan Bolasepak Iran (FFIRI) kini sedang “berunding” dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk memindahkan perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia ke Mexico dari Amerika Syarikat (AS) susulan konflik di Asia Barat, menurut kedutaan Iran di Mexico.

Penyertaan Iran pada kejohanan musim panas ini di AS, Kanada dan Mexico menjadi tanda tanya sejak perang tercetus hujung bulan lalu.

“Apabila (Presiden AS Donald) Trump secara jelas menyatakan beliau tidak dapat menjamin keselamatan pasukan kebangsaan Iran, kami sudah tentu tidak akan ke Amerika,” kata Presiden FFIRI, Mehdi Taj dalam kenyataan yang disiarkan di akaun X kedutaan itu.

“Kami ketika ini sedang berunding dengan FIFA untuk mengadakan perlawanan Piala Dunia Iran di Mexico.”

Iran dijadual menentang New Zealand dan Belgium di Los Angeles sebelum berdepan Mesir di Seattle.

Kem latihan pasukan itu pula ketika ini dirancang di Tucson, Arizona.

Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh semalam mengecam “kegagalan kerajaan AS dalam memberikan kerjasama berkaitan pengeluaran visa dan sokongan logistik” kepada delegasi Iran menjelang Piala Dunia dalam satu kenyataan di laman sesawang kedutaan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sudah “mencadangkan kepada FIFA supaya perlawanan Iran dipindahkan dari AS ke Mexico.”

Trump mencetuskan kontroversi minggu lalu apabila menyatakan walaupun pasukan Iran “dialu-alukan” ke AS, mereka tidak sepatutnya hadir ke kejohanan itu “demi keselamatan mereka sendiri.”

Kenyataan Trump itu bercanggah dengan jaminan sebelum ini oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino bahawa Iran akan dialu-alukan menyertai kejohanan berkenaan.

Iran membalas kenyataan itu dengan menegaskan “tiada siapa boleh menghalang pasukan kebangsaan Iran daripada menyertai Piala Dunia.”

Kedudukan Iran di kejohanan itu menjadi tidak menentu selepas AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas republik Islam berkenaan, yang kemudian dibalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta sasaran AS di seluruh Asia Barat. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here