KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro teka-teki status hubungan cinta antara pelakon, Emma Maembong dan kekasihnya, DJ Kidd akhirnya terjawab apabila lelaki itu mengesahkan mereka kini bukan lagi pasangan kekasih.
Perkongsian itu dibuat sendiri oleh DJ Kidd menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini bagi mengelakkan terus dihujani pertanyaan orang ramai mengenai kelibat aktress itu di sisinya.
“Salam satu Malaysia, di sini saya nak memaklumkan di mana saja saya berada orang sibuk tanya saya dimanakah pasangan saya. Saya berbesar hati ingin memberitahu yang saya tidak lagi bersama dia,” tulisnya.
Kongsinya, penjelasan itu dibuat dengan harapan agar tiada lagi pihak yang membangkitkan isu atau persoalan mengenai hubungan mereka pada masa akan datang.
“Saya harap tiada lagi persoalan selepas ini dan saya juga mendoakan kebahagiaan dia bersama siapa jua dia bersama. Amin,” tulisnya lagi.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus dalam hantaran itu, rata-rata netizen membuat spekulasi dan mengaitkan kenyataan berkenaan dengan Emma.
Terdahulu, desas-desus mengenai hubungan cinta pasangan ini menjadi bualan hangat warganet selepas tular beberapa keping gambar yang memaparkan mereka menikmati percutian bersama di luar negara.
Malah, terdapat juga spekulasi yang mendakwa kononnya pasangan ini sudah pun melangsungkan pernikahan secara rahsia.
Bagaimanapun, kakak Emma iaitu Shikin Maembong menafikan dakwaan itu sambil menegaskan tiada sebarang ikatan perkahwinan antara adiknya bersama DJ Kidd seperti yang diperkatakan. – HMetro Online –
IMedikel TV






