Home Luar Negara IRAN BERI AMARAN TIDAK CAMPUR TANGAN PERANG AS-ISRAEL

IRAN BERI AMARAN TIDAK CAMPUR TANGAN PERANG AS-ISRAEL

145
0

Tehran: Iran semalam memberi amaran kepada negara lain supaya tidak terbabit dalam perangnya dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel selepas sebuah pangkalan di Kuwait yang menempatkan tentera AS dan Itali diserang dron.

Tehran turut menghantar mesej tegas kepada negara jirannya bahawa pihaknya mempunyai ‘bukti yang mencukupi’ bahawa pangkalan AS di wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan.

Amaran itu dibuat sehari selepas Presiden AS Donald Trump menggesa negara lain bekerjasama dengan AS untuk mengamankan Selat Hormuz yang penutupannya sejak konflik tercetus sudah menyebabkan pasaran tenaga bergolak.

Diplomat tertinggi Iran, Abbas Araghchi di X menggesa negara jiran ‘mengusir penceroboh asing’ dengan berkata, payung keselamatan AS di rantau itu ‘mengundang masalah berbanding menghalangnya’.

Beliau berkata, perang itu akan berakhir apabila Iran yakin ia tidak akan berulang dan pampasan akan dibayar.

Sementara itu, tentera Itali berkata, serangan dron di pangkalan udara Ali Al Salem di Kuwait memusnahkan sebuah pesawat tanpa pemandu milik Itali tetapi tidak menyebabkan sebarang kematian.

Pihak berkuasa Iraq pula berkata, roket mencederakan lima orang di lapangan terbang Baghdad yang menempatkan kemudahan diplomatik AS.

Difahamkan, harga tenaga melonjak di seluruh dunia selepas Iran bertindak balas terhadap kempen AS dan Israel yang membunuh pemimpin tertingginya dengan mengancam perkapalan melalui Selat Hormuz.

Susulan itu, Trump menggesa, China, Perancis, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom (UK) dan negara lain menghantar kapal untuk mengiringi kapal tangki ketika tentera AS terus menyerang lokasi pelancaran dron, bot serta peluru berpandu Iran.

Namun, negara yang disenaraikannya hanya memberi reaksi berhati-hati dan Araghchi memberi amaran supaya menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh membawa kepada peningkatan konflik.

Harga minyak global melonjak sebanyak 40 peratus apabila Iran menyekat laluan laut penting itu dan menyerang sasaran industri tenaga serta perkapalan di negara jiran Teluknya.

Bagaimanapun, Agensi Tenaga Antarabangsa berkata, negara anggotanya akan menyediakan stok minyak daripada rizab strategik mereka bagi membantu menstabilkan pasaran. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here