Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Produk air gula dan air hidrasi keluaran syarikat bumiputera IMedikel Pharma Holding Berhad (IMedikel) menjadi antara produk berasaskan farmaseutikal untuk menembusi pasaran luar negara khususnya China.
Menurut Presiden Malik Group Sdn Bhd, Dr Abdul Malik Abdullah, dua produk tersebut perlu diangkat untuk menembusi pasaran negara tersebut.

“Sebenarnya untuk hala tuju perbincangan ini adalah bagaimana Malik Group dan IMedikel berkongsi cara untuk kita memasarkan beberapa produk yang ada di IMedikel supaya dapat menembusi pasaran terutama negara China.
“Dari perbincangan tadi, saya melihat pihak IMedikel begitu berminat dengan apa yang kita cadangkan itu.
“Saya melihat dari segi persediaan IMedikel dan apa kandungan dalam produk-produk mereka, kami rasa perkara ini boleh dibawa ke depan terutamanya air glukos dan air hidrasi,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Kerjasama IMedikel bersama Malik Group Bagi Melihat Peluang Perniagaan Dalam dan Luar Negara, di Wisma Telipot, di sini, hari ini.

Dr Abdul Malik berkata hasil perbincangaan itu, mereka bersepakat untuk mengetengahkan tarikan utama dalam beberapa produk keluaran IMedikel.
“Daripada perbincangan tadi, kita cuba tonjolkan barang-barang yang diperlukan di negara berkenaan. Dan selepas perbincangan bersama delegasi China, kita akan bincang semula dengan pihak IMedikel,”katanya.
Sementara itu, Presiden IMedikel, Yusmat Mamat, berkata selain China, pihaknya juga bercadang untuk menembusi pasaran negara ASEAN termasuk Vietnam dan Kemboja serta negara luar lain iaitu Afrika.

“Saya berharap produk berasaskan farmaseutikal daripada syarikat IMedikel menembusi semua negara yang dicadangkan itu.
“Setakat ini hasil perbincangan kita mulakan di China. Saya harap dengan kerjasama ini dapat memberi peluang kepada kami syarikat bumiputera melebarkan sayap lagi,”katanya.
IMedikel TV






