WELLINGTON: Ikan blobfish, yang sering digelar sebagai haiwan paling hodoh di dunia, dinobatkan sebagai Ikan Terbaik Tahun Ini di New Zealand.
Haiwan laut dalam itu, yang boleh membesar sehingga 30 sentimeter, dikenali dengan gelaran mesra Mr Blobby dan maskot rasmi bagi Persatuan Pemuliharaan Haiwan Hodoh.
Memiliki kepala besar serta kulit longgar dan lembik, blobfish biasanya ditemui di perairan laut dalam di pesisir tenggara Australia, Pulau Tasmania dan New Zealand.
Sky News melaporkan, ikan itu meraih kemenangan sebagai Ikan Terbaik Tahun Ini di New Zealand dalam undian tahunan anjuran Mountains to Sea Conservation Trust, sebuah kumpulan alam sekitar bukan berasaskan keuntungan, dengan memperoleh hampir 1,300 daripada lebih 5,500 undian.
Menjelang saat-saat akhir, sokongan terhadap blobfish melonjak, sekali gus mengatasi ikan orange roughy yang terancam, dengan kelebihannya hampir 300 undi.
Dalam habitat asalnya, pada kedalaman sekitar 600 hingga 1,200meter, blobfish kelihatan seperti ikan biasa.
Namun, apabila dibawa ke permukaan, tekanan air yang lebih rendah menyebabkan tubuhnya berubah menjadi lembik dan kelihatan tidak menarik.
Pengarah bersama Mountains to Sea Conservation Trust, Kim Jones, menyifatkan pertandingan itu sebagai “pertarungan dua makhluk laut dalam yang unik, dengan keunikan rupa blobfish berjaya menawan hati pengundi.”
Kemenangan turut didorong oleh dua penyampai radio New Zealand, Sarah Gandy dan Paul Flynn, yang menggesa pendengar mereka untuk mengundi blobfish.
“Kami dan rakyat New Zealand sudah bosan melihat ikan lain mendapat perhatian. Blobfish ‘dibuli’ sepanjang hidupnya, jadi kami fikir, cukuplah, sudah tiba masanya untuk blobfish bersinar, dan inilah detiknya!” kata mereka.
Sementara itu, jurucakap Inisiatif Undang-Undang Alam Sekitar, yang menyokong orange roughy dalam pertandingan itu, berkata mereka “tiada masalah” dengan keputusan tersebut, sambil menegaskan bahawa ia tetap satu kemenangan bagi ekosistem laut dalam serta meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk penangkapan ikan dasar laut secara besar-besaran.
Antara spesies lain yang turut tersenarai dalam 10 terbaik ialah belut sirip panjang, jerung paus dan jerung putih besar. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






