Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Percubaan beberapa lelaki menyeludup lima kampit beras cap Pauh gagal setelah diketahui Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, pada Rabu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata beras seberat 125kilogram itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram Pok Ngoh dan dibawa ke pasaran tempatan.
“Rampasan beras itu dilakukan pada jam 10.25 pagi apabila ternampak beberapa lelaki sedang memindahkan barang dari perahu ke tebing sungai semasa melakukan rondaan dalam Op Taring Wawasan Kelantan.
“Bagaimanapun, kesemua suspek sempat melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak polis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, beras yang dirampas adalah bernilai kira-kira RM500.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.
IMedikel TV






