Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM) menerima peruntukan sebanyak RM4.5 juta bagi pelaksanaan kerja membaik pulih 300 buah rumah milik golongan eKasih yang mengalami kerosakan kecil di seluruh negeri ini.
Pengarah ICU JPM, Jasri Kasim, berkata projek tersebut dilaksanakan melalui konsep gotong-royong membabitkan pelbagai agensi kerajaan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), ketua komuniti, belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hari ini kita melaksanakan program Inisiatif Kasih Madani di jajahan Pasir Mas, iaitu membaiki 12 buah rumah penerima eKasih secara gotong-royong.
”Sebenarnya kita menerima lebih daripada 97 permohonan pembaikan rumah di kawasan ini dan kita sasarkan jumlah ini akan terus bertambah.
“Saya menyeru kepada masyarakat supaya memaklumkan kepada kami jika terdapat rumah miskin yang memerlukan pembaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Gotong-Royong Perdana Program Baik Pulih Rumah di bawah Inisiatif Sejahtera Madani, di sini, hari ini.
Katanya, kerja pembaikan melibatkan kerosakan kecil seperti zink bocor, lantai reput dan dinding rosak, sekali gus membantu penghuni rumah berasa lebih selesa dan selamat menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang baru bermula.
Tambah beliau, pendekatan gotong-royong dipilih kerana ia lebih cepat dan menjimatkan kos berbanding melantik kontraktor.

”Jajahan Pasir Mas mencatat kawasan dengan jumlah permohonan tertinggi setakat ini, diikuti Machang dan Tanah Merah, selain banyak permohonan sedang diterima daripada ketua komuniti di kawasan lain.
”Kita juga akan menampung kos pembelian bahan binaan serta upah tukang bagi memastikan golongan eKasih yang tidak berkemampuan dapat dibantu,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas yang juga penerima eKasih, Jusoh Awang Noh, 81, menzahirkan rasa syukur apabila dibantu memandangkan zink rumahnya sudah bocor selama dua tahun, namun tidak berkemampuan untuk membaikinya.
”Zink rumah ini pun sudah rosak, bocor dan reput sejak dua tahun lepas, tapi saya dan isteri, Rokiah Ag Senit, 82, bertahan sahaja.
”Saya rasa selesa dan bersyukur apabila pihak Kerajaan datang nak membantu kami,” katanya.
Dalam pada itu, Jasri berkata peruntukan sebanyak RM250,000 juga diluluskan bagi kerja pembaikan rumah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang daif.
”Kita sasarkan 50 buah rumah dan sedang dilaksanakan secara berperingkat.
”Pemilihan rumah kita serah kepada anggota RELA, dia akan lihat rumah-rumah anggota RELA yang berdaftar sebagai sukarelawan yang layak untuk dibantu, kerja baik pulih juga akan dilaksanakan oleh anggota RELA sendiri,” katanya.
IMedikel TV






