Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hasrat kerajaan untuk mengharamkan permainan video menerima sokongan ramai ibu bapa yang bimbang terhadap kesan negatif aktiviti itu terhadap anak-anak, terutama dari segi emosi, sosial dan akademik.
Tinjauan kru IMedikel TV mendapati rata-rata ibu bapa bersetuju bahawa permainan video memberi lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, dan langkah kerajaan mengharamkannya dilihat sebagai usaha ke arah membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin serta berakhlak.
Bagi Mohd Sidik Mat, 50, dari Pasir Mas, langkah itu dianggap wajar kerana permainan video hanya membuang masa dan tidak mendatangkan manfaat kepada generasi muda.

“Anak saya seorang, umur 17 tahun, dan dia memang tidak main permainan video. Tetapi saya tetap sokong kalau kerajaan hendak haramkan permainan video tersebut sebab saya tengok ramai budak sekarang terlalu leka main sampai abaikan pelajaran. Lebih baik tenaga dan masa digunakan untuk benda berfaedah.
“Permainan video berinteraktif digalakkan untuk tujuan pembelajaran sahaja,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di sini, hari ini.
Sebagai seorang bapa, Mohd Sidik berharap anak-anak pada generasi kini lebih maju dan berdaya saing serta memberi sumbangan kepada negara
Sementara itu, Noor Hasmidah Shaari, 39, dari Kota Bharu turut bersetuju dengan cadangan kerajaan tersebut.
Katanya, dua anaknya yang berumur 14 dan 16 tahun memiliki telefon bagi tujuan membuat kerja sekolah.

“Berhubung dengan hasrat kerajaan untuk mengharamkan permainan video itu, saya sangat bersetuju sebab benda itu mempengaruhi budak-budak. Sejujurnya anak saya sendiri main permainan video tetapi saya tetap pantau.
“Kalau ikutkan memang saya tidak bagi anak-anak telefon, tetapi disebabkan kebanyakan kerja sekolah yang diberikan adalah melalui aplikasi Whatsapp atau Telegram,”katanya.
Namun menurut ibu kepada enam anak berumur antara tiga hingga 16 tahun itu dia kini lebih tegas memantau penggunaan gajet selepas kejadian seorang abang dipercayai mengelar adiknya yang dikaitkan dengan pengaruh permainan video baru-baru ini.
“Sejak kejadian tu, saya melarang anak-anak main permainan video itu. Telefon hanya untuk belajar. Memang ibu bapa kena pantau sebab banyak tugasan sekolah guna telefon sekarang, tapi jangan sampai mereka leka dengan permainan video,”katanya.
Bagi Mohd Rozaime Mohd Johar, 50, dari Wakaf Bharu pula, pengharaman permainan video dilihat dapat mengurangkan ketagihan serta mencegah anak-anak daripada terjebak dengan masalah tidak bermoral dalam kalangan anak-anak sekarang.
Bapa kepada lima anak itu menyifatkan permainan video itu hanya melalaikan dan membazir masa sahaja.

“Saya setuju dan menyokong hasrat kerajaan untuk mengharamkan permainan video ini.
“Mereka yang leka dengan permaianan video ini hanya membazir masa,”katanya.
Menurut Mohd Rozaimi angkara bermain permainan video juga boleh menyebabkan kerugian wang.
“Anak saya dulu pernah main Roblox sampai hilang duit sebab buat pembelian dalam permainan video. Sebab itu saya sokong kerajaan kalau nak haramkan.
Kita sebagai ibu bapa pun tidak boleh hendak pantau 24 jam sebab masing-masing kerja,” katanya.
Terdahulu media melaporkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI, susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan, dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil oleh Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.
IMedikel TV






