Home Buletin Semasa ANAK MUDA PILIH JADI FREELANCER DEMI KEBEBASAN MASA DAN MINAT

ANAK MUDA PILIH JADI FREELANCER DEMI KEBEBASAN MASA DAN MINAT

249
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Fenomena bekerja secara bebas atau freelance semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda di Kelantan yang mencari kebebasan masa serta peluang menjana pendapatan mengikut minat masing-masing.

Kebanyakan mereka, termasuk golongan pelajar, melihat masa depan sebagai pekerja bebas yang tidak terikat dengan peraturan majikan atau waktu pejabat.

Pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, Aleya Batrisya Cik Mat Arifa, 19, dari Kuala Terengganu berpendapat bahawa bekerja sendiri memberi lebih ruang untuknya mengatur jadual sendiri tanpa tekanan.

“Saya lebih suka kerja secara freelance sebab tidak terikat dengan komitmen atau perjanjian seperti kerja pejabat.

“Tambahan pula, peluang kerja pejabat sekarang agak terhad, jadi bagi saya kerja bebas ini lebih sesuai dengan minat saya,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di sini, hari ini.

Seorang lagi pelajar KPTM, Nor Nurin Najwa Zulkifli, 18, dari Pasir Mas turut mengakui trend bekerja secara bebas semakin diminati dalam kalangan remaja.

“Saya pun sebenarnya lebih minat kerja freelance, cuma keluarga lebih suka kalau saya pilih kerja yang ada pendapatan tetap,” katanya.

Bagi Nur Imanina Syuhada Mohd Azri, 25, dari Kok Lanas pula, kerja bebas bukan sekadar fleksibel tetapi juga membuka peluang menjana pendapatan lumayan jika dilakukan dengan tekun.

“Saya lebih rela kerja secara bebas sebab boleh atur masa sendiri.

“Memang tiada pendapatan tetap, tetapi saya mengambil upah sebagai tukang inai bila musim cuti sekolah atau kenduri kahwin tempahan memang tak henti hingga pendapatan mencecah RM1,000 hingga RM4,000 seminggu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dalam era digital kini, pekerja bebas perlu aktif mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial bagi mendapatkan pelanggan.

“Sekarang orang cari semua perkhidmatan di media sosial, jadi kalau kita tidak aktif, susah nak dapat projek,” katanya.

Fenomena itu menunjukkan perubahan sikap generasi muda terhadap dunia pekerjaan, dengan lebih ramai memilih kebebasan dan minat berbanding pekerjaan tradisional yang bergaji tetap.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here