Home Hiburan SHAHRONIZAM DALAM PROSES PEMULIHAN

SHAHRONIZAM DALAM PROSES PEMULIHAN

165
0

KUALA LUMPUR: Pelakon Shahronizam Noor, 53, memaklumkan keadaan kesihatannya kini dalam proses pemulihan selepas pembedahan serta dipasangkan mesin vakum untuk sedut darah dan bisa sampai Selasa depan.

Memetik laporan Harian Metro, Sahronizam berkata, sekiranya doktor mendapati luka pembedahannya okay dan tiada apa-apa masalah kemungkinan dia akan dibenarkan pulang ke rumah, namun tidak dijanjikan.

“Saya sekarang dalam proses pemulihan selepas pembedahan serta dipasangkan mesin vakum untuk sedut darah dan bisa ini sampai Selasa depan.

“Manakala, keputusan makmal bagi mengetahui jenis ketumbuhan yang saya hidapi akan keluar dua ke tiga minggu lagi.

“Tapi, saya punya bahagian ortopedik (tulang) ini sudah selesai. Doktor dah keluarkan sebahagian saya punya scapula (tulang belikat) dan ketumbuhan itu pun sudah dihantar ke makmal,” katanya.

Ujar Shahronizam, doktor juga memberitahunya dia akan dipantau selama lima tahun berikutan masalah ketumbuhan dihidapi itu agar benar-benar pulih.

Ditanya bila dia akan dibenarkan keluar hospital, Shahronizam berkata mungkin paling cepat minggu depan, tapi dia perlu juga pergi ke Klinik Kesihatan untuk buat ‘dressing’.

Mengulas soal pantang pemakanan, Shahronizam berkata semua makanan boleh dimakan tetapi dalam proses pemulihan ini dia yang kurang berselera.

“Apapun, Alhamdulillah selama saya berada di hospital untuk jalani rawatan, ramai rakan artis datang melawat. Cuma, pihak persatuan seperti Seniman Malaysia atau wakilnya yang tiada.

“Saya ahli Seniman sebab saya pelakon dan saya pun sudah maklumkan kepada persatuan mengenai penyakit yang saya hidap ini,” katanya.

Menurut Shahronizam, dia bagaimanapun pernah dihubungi wakil daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang dikendalikan Datuk Dj Dave untuk bertanya khabar.

Pada Ogos lalu, Shahronizam difahamkan membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Ampang dan kemudian kesnya dirujuk pula ke Hospital Ampang.

Pada 12 September, Shahronizam menjalani proses ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Ampang dan seterusnya dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Berehat seketika daripada lakonan, Shahronizam memberitahu dia akan kembali semula ke set penggambaran drama terbaharu pada Disember depan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here