BOURNEMOUTH: Eddie Howe mengakui Newcastle United bakal menjadi pasukan berbeza dari segi serangan musim ini tanpa kelibat penyerang utama, Alexander Isak, selepas sekadar seri tanpa jaringan 0-0 menentang bekas kelabnya, Bournemouth.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, ia adalah keputusan seri tanpa jaringan ketiga berturut-turut di gelanggang lawan buat anak buah Howe sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketumpulan serangan selepas Isak berhijrah ke Liverpool dengan yuran perpindahan 125 juta pound (RM992 juta).
“Secara semula jadi, kami akan jadi pasukan yang berbeza dalam aspek serangan musim ini tanpa Alex. Tiga kali berturut-turut seri 0-0 di tempat lawan bukan perkara biasa untuk gaya permainan kami,” kata Howe.
Bagi menampung kehilangan Isak, Newcastle segera membawa masuk Yoane Wissa dan Nick Woltemade.
Namun, Wissa dijangka terlepas aksi sebulan akibat kecederaan, manakala Woltemade diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan di Stadium Vitality, tetapi perlawanan berlangsung hambar dengan peluang yang sangat terhad.
Howe bagaimanapun tetap memuji persembahan penyerang muda Jerman itu.
“Nick bermain dengan baik, kawalan bolanya kemas. Kami hanya perlu lebih memahami gayanya dan memberi lebih banyak sokongan kepadanya,” katanya.
Newcastle sekurang-kurangnya boleh berbangga dengan catatan empat perlawanan tanpa bolos daripada lima aksi musim ini.
Bournemouth, yang sedang berada dalam prestasi baik, hanya melepaskan dua percubaan tepat berbanding satu sahaja buat Newcastle.
Jurulatih Bournemouth, Andoni Iraola mengakui kedua-dua pasukan lebih berhati-hati kali ini.
“Jika ada pasukan lebih hampir menjaringkan gol, saya rasa ia Bournemouth. Ia berbeza daripada pertemuan-pertemuan sebelum ini, tetapi kami masih kompetitif,” katanya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






