Home Buletin Semasa PENDAFTARAN SKPS DI SABAH, SARAWAK MASIH RENDAH, KPDN GESA SYARIKAT PENGANGKUTAN SEGERA...

PENDAFTARAN SKPS DI SABAH, SARAWAK MASIH RENDAH, KPDN GESA SYARIKAT PENGANGKUTAN SEGERA BERTINDAK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

SABAH: Pendaftaran kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan di Sabah serta Sarawak melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) didapati masih rendah setakat 15 hingga 20 September lalu.

Daripada 2,677 kenderaan di Sabah, hanya 89 sudah mendaftar, manakala di Sarawak pula hanya enam daripada 1,970 kenderaan berdaftar bagi menikmati subsidi petrol RON95.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding anggaran sebenar.

“Kita menggesa syarikat pengangkutan darat awam serta pengangkutan barangan di Sabah dan Sarawak untuk membuat pendaftaran segera bagi mendapat manfaat subsidi bahan api petrol RON95.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui SKPS di pautan http://mysubsidi.kpdn.gov.my,” katanya.

Beliau menjelaskan, kenderaan yang diluluskan pendaftarannya boleh membuat permohonan fleet card daripada mana-mana syarikat minyak pilihan masing-masing.

Armizan turut menegaskan, permohonan perlu diselesaikan sebelum bermulanya pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal diumumkan Kementerian Kewangan, termasuk kadar harga subsidi yang akan ditetapkan di bawah SKPS.

“Penyasaran subsidi petrol RON95 juga bakal dilaksanakan di Sabah dan Sarawak untuk kenderaan persendirian milik warganegara Malaysia.

“Ini membolehkan rakyat di dua negeri berkenaan menikmati harga runcit petrol yang lebih rendah pada kadar RM1.99 seliter, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, butiran penuh mengenai mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here