Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Biasanya, penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dijangkiti oleh kanak-kanak. Namun, adakah HFMD boleh dijangkiti kepada orang dewasa?
Untuk mengetahui lebih lanjut, anda perlu membaca artikel ini hingga akhir.
Menurut portal hellodoktor walaupun HFMD sering kali menyerang kanak-kanak, namun, itu tidak bermaksud orang dewasa tidak boleh menghidap penyakit sama. Ada pelbagai simptom HFMD pada orang dewasa. Tanda awal HFMD juga lebih kurang sama dengan kanak-kanak.

Jadi, jawapan kepada soalan di atas adalah ya. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), HFMD tidak akan mendatangkan simptom serius dalam kalangan orang dewasa.
Selalunya, orang dewasa memerlukan tujuh hingga 10 hari untuk sembuh daripada HFMD tanpa sebarang rawatan.
Bagaimanapun, kanak-kanak di bawah usia 2 tahun selalunya akan jatuh sakit dalam masa yang lebih panjang.
Menurut Persatuan Akademi Dermatologi Amerika Syarikat (AADA), simptom HFMD pada orang dewasa selalunya tidak ketara.
Malah, HFMD pada dewasa juga selalunya hanya akan menyebabkan simptom yang tidak serius dan seakan-akan demam biasa.
Sebarang komplikasi HFMD dalam kalangan orang dewasa juga jarang berlaku.
Ini adalah antara simptom HFMD pada orang dewasa. Simptom penyakit HFMD dalam kalangan orang dewasa adalah sama seperti simptom yang dialami bayi dan kanak-kanak, antaranya:
- Luka di dalam mulut: Luka atau lepuh yang menyakitkan akan muncul di dalam mulut, termasuk pada bahagian lidah, gusi dan di sekitar bibir.
- Ruam yang gatal: Ruam yang tidak menyenangkan juga mungkin timbul pada bahagian tapak tangan, tapak kaki dan kadangkala pada sekitar kawasan punggung atau kaki.
- Demam: Demam ringan mungkin berlaku sebagai salah satu tanda awal jangkitan.
- Gejala seakan-akan demam: Sesetengah orang dewasa mungkin mengalami gejala seakan-akan demam biasa seperti sakit kepala, kelesuan dan sakit tekak.

Bagi orang dewasa, coxsackievirus 16 merupakan punca utama jangkitan. Selalunya, ia merebak dengan pantas Ketika cuaca panas.
HFMD boleh berjangkit daripada satu individu kepada individu lain melalui cecair yang berasal dari hidung atau tekak.
Anda juga boleh terdedah kepada virus dengan cara:
- Menyentuh orang yang dijangkiti
- Terkena bersin atau batuk orang yang sakit
- Menyentuh objek tercemar, seperti mainan atau tombol pintu yang dijangkiti
- Berkongsi air yang dijangkiti, termasuk air dalam kolam renang
Sekiranya seseorang dijangkiti HFMD, seeloknya mereka tidak perlu ke pejabat. Oleh kerana penyakit ini mudah berjangkit, pesakit perlu tinggal di rumah untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
Mereka yang disahkan menghidap HMFD perlu mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan. Antaranya:
- Basuh tangan sebelum makan
- Nyahkuman segala permukaan yang disentuh, misalnya tombol pintu, paip air dan tempat duduk tandas
- Elak pergi ke pejabat atau menghadiri apa-apa acara sosial

Kadangkala, simptom HFMD pada orang dewasa tidak kelihatan. Oleh itu, ramai yang tidak menyedari mereka menghidap penyakit tersebut.
Jika boleh, jangan melawat warga emas yang mempunyai masalah imun.
Elakkan juga berjumpa dengan wanita yang sedang hamil, terutamanya jika wanita tersebut berada pada minggu terakhir kehamilan.
Bagaimanapun untuk mengelakkan daripada memudaratkan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan doktor.
IMedikel TV






