KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian meskipun berdepan tugas mencabar, ia tidak menghalang jurulatih baharu perseorangan lelaki negara, Harry Hartono, memasang impian besar melahirkan juara dunia dan pemain nombor satu dunia bersama Malaysia.
Pelantikan jurulatih dari Indonesia itu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dimuktamadkan bulan lalu dan beliau memulakan tugasan secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Harry percaya pengalaman membimbing dua jaguh Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Jonatan Christie, bekas juara Asia, mampu membantu merealisasikan misi berkenaan bersama skuad kebangsaan.
“Sebagai jurulatih, tentunya saya ingin pemain saya mencapai tahap tertinggi di dunia. Saya mahu mereka menjadi nombor satu dunia dan juara dunia.”Itu adalah cabaran dan harapan saya sebagai jurulatih,” kata Hartono ketika ditemui pada hari pertamanya bersama skuad kebangsaan hari ini.
Menurut Harry, keputusannya menyertai BAM didorong oleh cabaran baharu dalam kerjaya, meskipun dia baru kembali berkhidmat bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pada September lalu, sebelum membuat keputusan meninggalkan badan induk negara kelahirannya itu.
Jurulatih itu turut membawa pengalaman antarabangsa selepas lima tahun berkhidmat di Taiwan dari 2005 hingga 2010, termasuk membimbing bekas pemain nombor dua dunia, Chou Tien-Chen, ketika pemain itu di peringkat sekolah menengah, sebelum kembali ke Indonesia untuk bekerja di peringkat kelab.
Walaupun baru sehari bersama skuad negara, Harry mengakui kagum dengan apa yang dilihatnya, khususnya dari segi sikap positif dan daya saing pemain perseorangan lelaki Malaysia.
“Beberapa pemain sudah menentang lawan terbaik dunia. Mereka tahu apa yang diperlukan untuk bersaing di tahap elit,” katanya.
Harry berkata, dia memerlukan tempoh kira-kira sebulan untuk menyesuaikan diri dan menilai situasi, sebelum Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen, memuktamadkan peranan khususnya dalam acara berkenaan.
Antara pemain dalam kelompok senior ketika ini ialah Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe, yang menurut Harry memiliki mentaliti serta potensi untuk terus menyerlah di peringkat antarabangsa.
Harry adalah antara tiga jurulatih baharu yang dibawa masuk oleh BAM, termasuk Yeoh Kay Bin, yang memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja kebangsaan minggu lalu.
Seorang lagi jurulatih ialah Mohd Zakry Latif, yang diberi tanggungjawab sebagai jurulatih beregu wanita dan dijadual memulakan tugas pada 20 Februari ini. – BH Online –
IMedikel TV






