Home Sukan HAMILTON TAK YAKIN DENGAN FERRARI

HAMILTON TAK YAKIN DENGAN FERRARI

LONDON: Lewis Hamilton jangka baki musim Formula Satu (F1) 2025 bersama Ferrari akan jadi ‘menyakitkan’ susulan Grand Prix (GP) Arab Saudi yang mengecewakan.

Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh di Litar Jeddah, lebih 30 saat di belakang rakan sepasukan Ferrari, Charles Leclerc.

Juara dunia tujuh kali itu kelihatan jauh ketinggalan kelmarin apabila mencatat masa kelayakan 0.6 saat lebih perlahan daripada Leclerc pada Sabtu.

Prestasi hujung minggu itu mengingatkan kepada tahun terakhirnya bersama Mercedes, dengan Hamilton kelihatan sangat murung ketika bercakap kepada media selepas perlumbaan.

Melihat ke hadapan di Miami dan baki musim ini, Hamilton tidak yakin keadaan akan bertambah baik.

“Saya rasa saya akan terus bergelut di Miami juga,” kata Hamilton seperti yang dipetik Motorsport Week.

“Saya tak tahu berapa lama lagi saya akan hadapi keadaan begini tapi ia memang sangat menyakitkan. Buat masa ini, tiada penyelesaian. Jadi, beginilah keadaannya untuk sepanjang musim. Ia akan menjadi musim yang menyakitkan.”

Hamilton sekali lagi gagal menandingi rakan sepasukannya, Charles Leclerc, yang berjaya meraih podium pertama Ferrari musim ini.

Hamilton mengakui walaupun perubahana kereta mereka sedikit berbeza, dia sekadar memandu lebih perlahan di selekoh berbanding Leclerc.

“Dia (Leclerc) sudah lama memandu kereta ini, jadi dia memang sangat faham dengan karaktoristiknya. Memang banyak maklumat dalam data, itu sudah pasti,” jelas Hamilton.

“Maksud saya, sejujurnya, dalam data pun tak nampak beza ketara. Cuma… saya lebih perlahan di selekoh. Kami memang ada sedikit perbezaan, saya kena tengok sama ada ia betul-betul sesuai dengan kereta ini.”

Hamilton juga hairan ngan kekurangannya dari segi kelajuan dalam perlumbaan, dan mendedahkan dia sudah cuba segalanya untuk memandu lebih laju.

Berbeza dengan beberapa perlumbaan lain, seperti di Bahrain di mana dia menunjukkan kelajuan perlumbaan yang baik, prestasi Hamilton pada Ahad kali ini sangat mengecewakan.

“Tiada apa yang positif,” kata Hamilton. “Kecuali Charles berjaya naik podium, itu bagus untuk pasukan. Tapi selain itu, ia teruk. Teruk. Langsung tak menyeronokkan. Saya hanya tergelincir ke sana sini.”-Agensi, HMetro Online- 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here