DALLAS: Bintang Norway, Erling Haaland, dilaporkan membelanjakan kira-kira AS$10,000 (RM42,400) untuk membeli pelbagai barangan koboi ketika berada di Texas sepanjang kempen Piala Dunia 2026.
Menurut TMZ, Haaland bersama empat lagi pemain Norway diberi peluang membeli-belah secara peribadi di sebuah kedai barangan koboi terkenal, Wild Bill’s Western Store, di Dallas selama kira-kira satu setengah jam.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, antara barangan yang dibeli ialah topi koboi, but kulit, baju gaya Barat dan kepala tali pinggang bercorak tanduk lembu Longhorn.
Namun, pembelian paling mencuri perhatian ialah seekor rakun yang diawet (taxidermy) sambil memegang sebotol minuman keras bernilai AS$750 (RM3,180) serta dua ekor tupai diawet yang masing-masing bernilai AS$450 (RM1,910).
Secara keseluruhan, kumpulan pemain Norway itu membelanjakan kira-kira AS$10,000, dengan sumber rapat kepada TMZ mendakwa Haaland membayar keseluruhan bil berkenaan.
Sebelum ini, Haaland turut tular apabila mengenakan topi koboi, but kulit dan baju-T bertulis ‘Y’all Can Kiss My Dallas’, selain berkongsi pengalaman menikmati budaya Texas di media sosial.
Lawatan itu turut meningkatkan jualan barangan di kedai berkenaan.
Haaland pulang ke Norway selepas kempen cemerlang di Piala Dunia berakhir apabila pasukannya tewas 1-2 kepada England pada suku akhir.
Walaupun gagal membawa Norway ke separuh akhir, penyerang berusia 25 tahun itu muncul antara bintang paling menyerlah sepanjang kejohanan dengan aksi di dalam dan di luar padang yang mencuri perhatian. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






