Home Buletin Semasa CUBAAN SELUDUP 1.36 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI GAGAL, SEORANG DITAHAN

CUBAAN SELUDUP 1.36 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI GAGAL, SEORANG DITAHAN

15
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Cubaan menyeludup sebanyak 1,360 kilogram (kg)  minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran dipatahkan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Pasir Mas menahan seorang lelaki dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Padang Chenok, di sini, malam tadi.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata serbuan kira-kira jam 10 malam itu dilaksanakan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Pasir Mas hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 80 kotak mengandungi 1,360 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram yang disimpan di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Exora bernombor pendaftaran tempatan, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Ketika serbuan dijalankan, pemandu kenderaan bertindak melarikan diri, namun seorang lagi suspek berjaya diberkas hasil tindakan pantas pasukan serbuan,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala semua barangan kawalan serta kenderaan yang digunakan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

KPDN menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan penyeludupan rentas sempadan.

Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan yang menjejaskan bekalan barangan bersubsidi untuk rakyat.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here