Taipei: Seorang guru fizik di Taiwan bertindak kejam dan keterlaluan apabila menjatuhkan seekor kucing ke atas lantai ketika melakukan eksperimen dalam bilik darjah.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, tindakan guru lelaki itu mendapat kecaman selepas salah seorang pelajar merakam video perbuatannya itu dan memuat naik di laman sosial hingga tular pada awal Mac lalu.
Rakaman video itu menunjukkan guru berkenaan memegang kucing itu secara terbalik dengan kakinya di udara. ‘
Dia kemudian membiarkan kucing itu jatuh ke lantai kelas, lapor laman web berita setn.com.
Guru dikenali Li Feng menunjukkan eksperimen pemuliharaan momentum sudut yang dlakukan dua kali.
Menerusi rakaman berkenaan, jelas kedengaran jeritan haiwan itu selepas dijatuhkan.
“Adalah baik untuk melakukan ini dengan kucing tetapi kami tidak boleh melakukannya dengan anjing,” kata Li kepada pelajarnya dalam video itu.
Selepas menerima kritikan dalam talian, Li memohon maaf atas perlakuannya terhadap kucing miliknya yang diberi nama Laifu.
“Sebagai pemilik Laifu, saya tidak mengendahkan bahaya fizikal dan mental yang dibawa oleh eksperimen itu.
“Sebagai seorang guru, saya berkelakuan teruk tanpa mengambil kira bahawa ia akan memberi kesan negatif kepada pelajar saya dan orang lain,” kata Li.
Li berkata, dia membawa Laifu untuk pemeriksaan veterinar selepas eksperimen itu.
Dia juga menderma 50,000 dolar baharu Taiwan (kira-kira RM7,454) kepada Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Taiwan.
Haiwan peliharaannya diambil dari badan amal dan ia tidur di atas katilnya setiap malam.
Li berkata, dia memahami Laifu takut ketika eksperimen itu dan dia berharap kucing itu akan memaafkannya.
“Saya akan membelikan kamu makanan kucing terbaik untuk menunjukkan betapa saya menyesal,” katanya kepada kucing peliharaannya itu.
Meskipun sudah memohon maaf, netizen tetap marah dengan tindakan guru berkenaan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






