MANCHESTER, England: Idrissa Gueye memohon maaf dengan sepenuh hati kepada rakan sepasukan selepas dilayangkan kad merah kerana menampar Michael Keane ketika Everton menewaskan Manchester United 1-0 di Old Trafford.
‘Detik gila’, seperti yang digambarkan oleh penjaring gol kemenangan, Kiernan Dewsbury-Hall berlaku seawal minit ke-13 perlawanan.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, selepas ditegur Keane kerana hantaran cuai, Gueye membalas rakan pertahanan tengah itu sebelum mengangkat tangan dan menampar mukanya, sekali gus menerima kad merah terus daripada pengadil Tony Harrington.
Dalam satu kejutan, Everton kemudian menjaringkan gol menerusi rembatan cantik Dewsbury-Hall dan mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat.
Didedahkan oleh Moyes dan Dewsbury-Hall selepas perlawanan, Gueye memohon maaf di bilik persalinan dan kini pemain berpengalaman berusia 36 tahun itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya menerusi hantaran di Instagram.
“Saya ingin memohon maaf terlebih dahulu kepada rakan sepasukan saya, Michael Keane. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas reaksi saya. Saya juga memohon maaf kepada rakan sepasukan, kakitangan, penyokong dan kelab.
“Apa yang berlaku tidak mencerminkan siapa saya atau nilai yang saya pegang. Emosi boleh memuncak, tetapi tiada apa yang membenarkan kelakuan sebegini. Saya pastikan ia tidak akan berulang.”
Everton mempertahankan kelebihan dengan cemerlang selepas insiden buang padang itu, mengehadkan peluang tuan rumah ketika mereka cuba mengejar gol penyamaan.
Kemenangan itu meletakkan Everton di tangga ke-11, di hadapan pesaing Merseyside yang bergelut, Liverpool.
Moyes memuji semangat pasukannya dan menegaskan beliau “suka pemainnya bergaduh” demi semangat juang.
“Jika tiada apa berlaku, saya rasa tiada siapa di stadium akan terkejut,” kata Moyes mengenai kad merah itu.
“Saya rasa pengadil boleh ambil sedikit masa lagi untuk membuat keputusan.
“Saya diberitahu peraturan permainan jika anda menampar rakan sepasukan, anda boleh berdepan masalah. Tetapi ada sisi lain: saya suka pemain saya bergaduh antara satu sama lain jika ada yang tidak buat tindakan betul.
“Jika anda mahu ketegasan dan ketahanan untuk dapat keputusan, anda perlukan seseorang bertindak. Saya kecewa kami mendapat kad merah. Tetapi anda semua pernah jadi pemain bola, anda marah dengan rakan sepasukan.
“Dia sudah memohon maaf kerana kad merah itu, memuji pemain lain dan mengucapkan terima kasih serta memohon maaf atas apa yang berlaku.”
Bagi Manchester United, keputusan itu menjejaskan harapan mereka untuk layak ke saingan Eropah musim ini selepas peningkatan prestasi baru-baru ini. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






