Home Sukan GOL GAVI PASTIKAN SEPANYOL LAYAK EURO 2024

GOL GAVI PASTIKAN SEPANYOL LAYAK EURO 2024

113
0

OSLO: Sepanyol menempah tempat ke pusingan akhir Euro 2024 dengan kemenangan 1-0 ke atas Norway awal pagi tadi, sekali gus turut membantu Scotland layak dari Kumpulan A.

Pemain tengah Gavi menjaringkan gol tunggal kemenangan pada babak kedua untuk membantu juara Euro 2008 dan 2012 itu layak ke kejohanan di Jerman pada musim panas akan datang dengan berbaki dua perlawanan.

Memetik laporan AGENSI berita harian,Norway, yang kali terakhir layak ke kejohanan utama pada Euro 2000 dan bintang serangan mereka Erling Haaland kini berpotensi untuk mara menerusi play-off, tetapi perlu kekal di tangga ketiga kumpulan dan berharap Serbia layak dari Kumpulan G bagi membantu kemaraan mereka.

Sepanyol tidak memberi Haaland sebarang peluang sepanjang malam yang panjang dan mengecewakan buat Norway, yang ketinggalan lima mata di belakang lawan mereka dan Scotland, dengan hanya berbaki satu perlawanan.

“Dari serangan hingga pertahanan kami amat mantap, secara praktikal kami tidak membenarkan (Haaland) menerima sebarang umpanan bola dengan selesa,” kata pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal kepada TVE.
Reaksi penyerang Norway, Erling Haaland selepas tewas di tangan Sepanyol pada aksi kelayakan Euro 2024 di Stadium Ullevaal, Oslo awal pagi tadi. – Foto AFP

“Mereka tidak dapat mencipta banyak peluang, kami pulang penuh kegembiraan dengan tiket ke Euro.”

Gavi terpaksa menunggu beberapa minit sebelum mengetahui sama ada golnya disahkan atau tidak, ketika VAR menganalisisnya dengan agak perlahan.

“Saya fikir hari ini kami amat bagus dan akhirnya ia membuahkan hasil,” kata Gavi.

“Saya tidak tahu jika (Alvaro) Morata ofsaid, tetapi akhirnya mereka membenarkan gol itu dan saya terlalu gembira.”

Gavi memecah kebuntuan dan meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-49 selepas keadaan kelam-kabut dalam kawasan Norway, meledak masuk selepas percubaan Mikel Oyarzabal terbias dan singgah di kakinya.

Selepas VAR akhirnya mengesahkan jaringan Gavi, pemain tengah Barcelona berusia 19 tahun itu mampu meraikan gol kelima buat negaranya dalam 25 penampilan. – AFP-AGENSI-BH ONLINE-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here