Home Sukan SKUAD HOKI LELAKI DAN WANITA PAHANG BUKTI KEHEBATAN BAWA PULANG PINGAT EMAS...

SKUAD HOKI LELAKI DAN WANITA PAHANG BUKTI KEHEBATAN BAWA PULANG PINGAT EMAS SUKMA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Skuad hoki lelaki dan wanita Pahang tampil membuktikan kehebatan apabila berjaya merangkul pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam.

Pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Pandamaran Klang, petang semalam, skuad wanita bimbingan ketua jurulatih, Muhammad Sabri Mohamad tampil bergaya menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan 6-5 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 1-1 pada perlawanan masa sebenar.

Di gelanggang sama pasukan lelaki Tok Gajah kendalian ketua jurulatih, Mohd Sufian Mohamad dibantu Ismail Abu menewaskan Pulau Pinang 4-2 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 1-1 pada perlawanan masa sebenar.

Bagi Muhammad Sabri, kejayaan skuad wanita membawa pulang pingat emas pada SUKMA Selangor kali ini melengkapkan pencapaian hatrik dalam acara hoki bermula 2022 (Kuala Lumpur), 2024 (Sarawak) dan 2026 (Selangor).

Katanya, lebih menarik pada SUKMA Selangor kali ini skuad Pahang mencatat kemenangan pada semua perlawanan bermula peringkat kumpulan dengan menewaskan Selangor 3-1 dan Sarawak 4-0, tundukkan Terengganu (3-1) diperingkat suku akhir dan menang keatas Perak (1-0) diperingkat separuh akhir.

Menurutnya, hari ini (semalam) skuad hoki wanita Pahang melengkapkan kegemilangan acara hoki SUKMA Selangor apabila dinobatkan selaku juara untuk membawa pulang pingat emas kali ketiga berturut-turut.

“Saya bersyukur dengan kejayaan skuad wanita yang dianggap begitu menarik dan membanggakan, tiga kali kita berada dipentas akhir SUKMA dan semua perlawanan berpihak pada kita. Setiap ranjau dapat diatasi dengan penuh bergaya.

“Pujian harus diberikan kepada barisan pemain yang tampil dengan penuh semangat dan kesungguhan tinggi memburu kejayaan diperingkat kebangsaan,” katanya yang terbabit bersama Akademi Hoki Pahang (AHP) di Temerloh.

Sementara itu, bagi Mohd Sufian usaha gigih dipamerkan barisan pemain menjadi pencetus utama kejayaan membawa pulang pingat emas pada SUKMA Selangor kali ini.

“Pada SUKMA Perak 2018 kita meraih pingat perak diikuti SUKMA Kuala Lumpur pingat emas dan SUKMA Sarawak 2024 pingat perak. Pingat emas diraih SUKMA Selangor kali ini.

“Detik mendebarkan berlaku pada perlawanan akhir bertemu Pulau Pinang apabila kedudukan terikat 1-1 tamat masa sebenar, kemenangan terukir menerusi penalti shoot-out yang berpihak pada Pahang 4-2,”katanya

Katanya, sejarah manis tercipta dalam acara hoki dipentas SUKMA apabila Pahang menjulang kejuaraan meraih pingat emas kategori lelaki dan wanita secara serentak.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here