Home Hiburan SYASYA RIZAL MENGAKU BUKAN MUDAH UNTUK MULA BERHIJAB

SYASYA RIZAL MENGAKU BUKAN MUDAH UNTUK MULA BERHIJAB

KUALA LUMPUR: Bekas ahli kumpulan Dolla, Syasya Rizal meminta orang ramai tidak memperlekehkan keputusannya untuk berhijab sekali gus menghentikan komen negatif berhubung penghijrahannya sejak April 2024.

Memetik laporan Harian Metro, Syasya, 25, menerusi hantaran di platform Threads berkata, keputusan mengenakan tudung itu bukanlah satu perkara yang mudah, sebaliknya mengambil masa berbulan-bulan menerusi usaha, doa dan keyakinan diri.

“Mungkin perkara ini nampak kecil bagi awak, tetapi bagi saya, ia adalah satu langkah yang besar. Saya mengambil masa berbulan-bulan, dengan usaha, doa dan keyakinan untuk akhirnya mula berhijab.

“Jadi, tolong jangan memperlekehkan perjalanan seseorang dengan komen seperti, ‘Tak lama lagi cabutlah tudung itu’, sebaliknya doakanlah yang baik-baik,” tulisnya.

Menurutnya, setiap individu mempunyai ujian dan perjuangan hidup yang berbeza sekali gus tidak wajar untuk dibandingkan.

“Apa yang nampak mudah bagi awak mungkin sebenarnya satu perjuangan besar bagi orang lain. Kita semua diuji dengan perkara yang berbeza dalam kehidupan ini.

“Tak perlulah membandingkan perjuangan sehingga merasakan perjuangan sendiri lebih besar daripada orang lain. Pada akhirnya, saya cuma sedang berusaha untuk menjadi lebih baik daripada diri saya semalam,” katanya.

Dalam pada itu, Syasya turut sempat berseloroh mengingatkan peminat untuk terus menyokong karya terbaharunya menerusi muzik video (MV) lagu Different.

Terdahulu, timbul pelbagai komen netizen termasuk komen negatif selepas Syasya muncul dengan single solo terbaharu itu. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here