Home Luar Negara KAPAL KARAM DALAM 8 MINIT, 22 MASIH HILANG

KAPAL KARAM DALAM 8 MINIT, 22 MASIH HILANG

NEW DELHI: Pengawal Pantai dan Tentera Laut India meneruskan operasi mencari dan menyelamat di luar pantai timur negara itu pada Ahad, selepas sebuah kapal kargo pukal berbendera Panama yang membawa 24 anak kapal karam dengan dua warganegara China berjaya diselamatkan, kata seorang pegawai kanan.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian, dua pelaut China berkenaan memaklumkan kapal yang dinamakan Ocean Winner itu mula senget pada 21 Ogos lalu sebelum karam dalam tempoh lapan minit, menyebabkan anak kapal terpaksa meninggalkan kapal berkenaan.

Ketua Pengarah Pentadbiran Maritim India, Shyam Jagannathan berkata demikian kepada Reuters sambil memaklumkan peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup secara amnya menurun dengan mendadak selepas tempoh 12 jam.

Bagaimanapun katanya, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi pencarian bagi mengesan anak kapal yang lain.

“Semua agensi sedang berkoordinasi secara rapat dan aktif menjalankan usaha mencari dan menyelamat,” kata Menteri Persekutuan bagi Kementerian Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air, Sarbananda Sonowal dalam satu hantaran di media sosial. 

Menurut Pengawal Pantai India, anak kapal yang masih hilang terdiri daripada 18 lagi warganegara China, tiga warganegara Myanmar dan seorang warganegara Bangladesh.

Tentera Laut India berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Pengawal Pantai bagi mengesan baki anak kapal dalam operasi berkenaan.

Jurucakap Pengawal Pantai berkata, dua kapal pengawal pantai dari Sri Vijaya Puram yang sebelum ini dikenali sebagai Port Blair, ibu negeri kepulauan Andaman dan Nicobar di India, dihantar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat itu.

Berdasarkan laporan awal Pentadbiran Maritim India, Ocean Winner membawa muatan bijih besi ke China selepas berlepas dari Pelabuhan Paradip di pantai timur India pada 21 Ogos.

Menurut sumber kerajaan, kapal kargo berkenaan karam kira-kira 240 batu nautika (444.48 kilometer) dari pelabuhan itu.

Punca kejadian masih belum diketahui setakat ini. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here