Home Buletin Semasa DUA ANGGOTA PENYELAMAT, KORBAN ULAR TEDUNG KETIKA BERTUGAS

DUA ANGGOTA PENYELAMAT, KORBAN ULAR TEDUNG KETIKA BERTUGAS

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Episod anggota penyelamat menjadi korban dipatuk ular tedung selar ketika bertugas sekali lagi berulang dalam suasana begitu tragis dan memilukan.

Kes pertama membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh pada 16 Mac 2018, Abu Zarin Hussin yang cuba menangkap ular tedung di Bentong.

Beliau dipatuk reptilia itu hingga menyebabkan menemui ajal dalam masa beberapa jam sahaja selepas kejadian.

Kepakaran dan kemahiran tinggi yang dimiliki anggota bomba berkenaan yang terkenal sebagai pakar ular dan “Whisperer Ular” tidak dapat menangkis serangan ular berbisa itu.

Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Jalan cerita yang hampir sama berlaku Sabtu lalu apabila seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh, Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, meninggal dunia selepas 14 jam dipatuk ular tedung selar.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya, sempena Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Dia dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.50 pagi, semalam.

Kakak mangsa Siti Aisyah Kamardin mendakwa ular tedung selar yang mematuk adiknya itu dipercayai memang ular yang dipeliharanya dan biasa dibawa untuk persembahan.

Satu lagi kes yang hampir meragut nyawa kerana dipatuk ular tedung berlaku pada 1 Mac 2012, Mohd Sabron Jamil Kamaruddin yang ketika itu bertugas dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kini Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dipatuk seekor ular tedung selar betina peliharaan bernama ‘Hana’ semasa sedang membersihkan kandang reptilia di Zoo Teruntum, Kuantan.

Kejadian itu menyebabkan tangan kirinya cedera parah hingga terpaksa merelakan anggotanya itu dipotong selepas lapan tahun sejarah hitam itu berlaku tanpa diduga.

Episod kejadian itu mendorong dia bertindak nekad melepaskan jawatan dengan MPK.

Dalam apa juga keadaan mereka yang terbabit dengan aktiviti menangkap ular berbisa perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelak kejadian buruk berlaku tanpa disangka.

Reptilia peliharaan yang dikatakan jinak belum tentu kejadian buruk tidak boleh berlaku.

Buktinya kes membabitkan Muhamad Muazam Shah dan Mohd Sabron Jamil yang diserang ular tedung selar peliharaan mereka sendiri. Reptilia yang terkenal dengan tindakan agresif dan berbisa itu bukan untuk dimainkan sebagai tontonan umum.

Hanya sedikit kesilapan sahaja kejadian buruk boleh berlaku hingga mengundang cedera parah dan maut.

Pihak terbabit perlu melihat semula prosedur operasi standard (SOP) yang ada bagi mengelak episod hitam tidak terus berulang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here