Home Sukan POGACAR MENANG TIPIS DI PERINGKAT PEMBUKAAN VUELTA A ESPANA

POGACAR MENANG TIPIS DI PERINGKAT PEMBUKAAN VUELTA A ESPANA

MONACO: Tadej Pogacar memecut untuk meraih kemenangan dalam ujian masa individu, sekali gus menyarung jersi merah pendahulu selepas peringkat pertama Vuelta a Espana, semalam.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pelumba Slovenia itu yang menyasarkan untuk melengkapkan koleksi tiga gelaran Grand Tour dalam kariernya di Vuelta dan dia menjadi pilihan utama untuk menang, menamatkan kayuhan sejauh 9.4 kilometer (km) itu dengan catatan masa beberapa peratus saat lebih pantas daripada pelumba Britain, Ethan Hayter.

Joshua Tarling menduduki tempat ketiga, empat saat di belakang dua pelumba teratas, sekali gus melengkapkan podium seminggu selepas adiknya, Finlay Tarling, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika berlumba dalam Tour of Portugal.

Pogacar yang mewakili UAE Team Emirates mencatat masa 10 minit 57 saat untuk laluan pendek dan teknikal melalui jalan di Monaco, bandar tempat kelahirannya, pada peringkat pembukaan edisi ke-81 Vuelta.

Dia 0.09 saat lebih pantas daripada Hayter dari Soudal-Quick-Step. 

“Perasaannya agak pelik apabila memenangi ujian masa pada peringkat pertama dengan perbezaan begitu kecil,” kata Pogacar.

“Saya tidak menjangkakannya. Saya sangat gembira. Warna merah ini sangat cantik.”

Dia berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri menjadi kunci kemenangannya.

“Perbezaan 0.09 saat itu berlaku ketika saya melalui kawasan berhampiran apartmen saya kerana itu bahagian paling teknikal dan saya berjalan serta berbasikal di situ setiap hari,” kata pelumba Slovenia itu.

Pogacar yang memenangi Tour de France (TdF) buat kali kelima pada awal musim panas ini dan menjuarai Giro d’Italia pada 2024, secara meluas dijangka menamatkan perlumbaan dengan jersi merah di Granada pada 13 September depan.

Dia beraksi dalam Grand Tour Sepanyol itu buat kali pertama sejak penampilan tunggalnya sebelum ini pada 2019, ketika dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Kemenangan Vuelta akan menjadikan Pogacar hanya pelumba keempat yang melengkapkan pencapaian bersejarah memenangi Tour-Vuelta pada musim yang sama, manakala hanya lapan pelumba pernah memenangi ketiga-tiga Grand Tour sepanjang karier mereka. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here