Home Hiburan KARL SHAFEK RINDU PENTAS TEATER, AKUI KADANG KALA RASA DILUPAKAN INDUSTRI

KARL SHAFEK RINDU PENTAS TEATER, AKUI KADANG KALA RASA DILUPAKAN INDUSTRI

KUALA LUMPUR: Pelakon Karl Shafek mengakui terasa ‘dilupakan’ walaupun dirinya masih aktif dalam pelbagai bidang seni lain terutama di belakang tabir dengan menguruskan acara mahupun peragaan fesyen.

Memetik laporan Harian Metro, Karl atau nama sebenar, Khairul Shafek Ibrahim, 46, berkata dia tidak menghilang daripada radar industri, cuma kebanyakan aktiviti seni kurang didedahkan, tetapi ia lebih membuatkan diri sangat tenang.

“Saya tidak rasa tersisih sebab baru-baru ini terbabit dengan KL Fashion Week (KLFW) 2026, cuma kadang-kadang rasa dilupai. Macam kadang kala kawan-kawan dalam bidang seni yang mungkin sekarang masih lagi orang kata berada dalam ‘limelight’.

“Saya pun tidak cakap yang saya meninggalkan industri, saya masih ada sahaja. Sebab, kadang-kadang saya ada lagi berlakon tetapi sekadar nak ‘enjoy the moment’ di set penggambaran dengan kawan-kawan,” katanya.

Pelakon drama Rindu Awak 200% ini berkata, penting bagi anak seni sepertinya untuk mengekalkan nama dalam industri dan sentiasa ada ‘job’ untuk meneruskan kehidupan dengan apa yang diminati.

“Sebenarnya, bukan saya tak nak ‘limelight’, tetapi apa yang penting untuk kita duduk dalam industri, yang utama adalah ‘sustain’ (mengekalkan). Kalau kita ‘sustain’, apa-apa yang kita buat itu lebih penting.

“Kalau kita ada ‘job’ pun, bersusun ‘job’ tetapi kita sekejap nampak dan sekejap tidak nampak, atau mungkin ada masa sebulan tidak ada ‘job’, mana lagi penting?, jadi lebih baik kita ‘sustain’ sahaja.

“Jika kita boleh teruskan dengan kehidupan dan buat apa yang kita minat, itu sahaja cukuplah,” katanya ditemui pada sidang media teater Teater Muzikal Tomyam Berdarah di Istana Budaya (IB), di sini, baru-baru ini.

Melakonkan watak Cef Rahman dalam teater muzikal terbitan CTRA Production itu, Karl berkata, dia dilamar oleh penerbit, Siti Rohayah Atan, kira-kira sebulan lalu dan diterima dengan hati terbuka.

“Saya rindu pada lakonan terutama pementasan teater kerana saya suka buat teater. Kalau katakan tawaran teater datang, saya tidak akan tanya pun naskhah itu fasal apa, saya terima sahaja.

“Sebab, saya memang suka pementasan. Malah, saya berada dalam industri lakonan dan hiburan sebenarnya untuk menguji diri saya. Pentas teater memang saya selalu anggap tempat saya belajar dan mengasah bakat,” katanya.

Aktif berlakon sejak 2008, Karl Shafek yang juga usahawan, pengacara dan penyampai radio memperlahankan karier selepas disahkan menghidap penyakit autoimun yang menyerang saraf tulang belakang kira-kira lapan tahun lalu.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah arahan Aloeng Silalahi bakal dipentaskan selama tiga hari di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 28 hingga 30 Ogos ini

Difahamkan, ia mengangkat kisah dunia kulinari yang menggabungkan elemen komedi ‘gelap’ berkait siasatan dramatik apabila berlaku insiden tidak diingini dan naratif makanan tempatan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here