Home Hiburan SHERRY ALHADAD MULA KARIER DARI BELAKANG TABIR

SHERRY ALHADAD MULA KARIER DARI BELAKANG TABIR

KUALA LUMPUR: Lama sebelum dirinya dikenali sebagai pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad menimba pengalaman dunia seni dari belakang tabir.

Memetik laporan Berita Harian, Sherry pernah bertugas sebagai pembantu busana bagi pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang (PGL) di Istana Budaya (IB) di ibu negara, hampir dua dekad lalu.

Pengalaman itu menjadi antara titik awal perjalanan seni Sherry atau nama penuh, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 42, yang ketika itu bertanggungjawab memastikan busana pelakon utama seperti Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk AC Mizal dan Stephen Rahman Hughes sentiasa kemas sepanjang pementasan.

“Kalau hendak ikutkan sejarah, pada pementasan PGL di IB pada 2003 dan 2005, saya bekerja sebagai pembantu ‘wardrobe’. Saya yang jaga baju Tiara, AC Mizal dan Stephen Rahman ketika itu.

“Bukan sahaja di IB, saya mengikut rombongan produksi sebagai pembantu ‘wardrobe’ sehingga ke pementasan di Esplanade, Singapura,” katanya kepada BH Online.

Bertahun-tahun kemudian, pengalaman bekerja di belakang tabir itu menjadi kenangan manis buat Sherry apabila dia berpeluang berkongsi semula kisah itu dengan barisan pelakon yang pernah dijaga selepas dirinya bergelar selebriti. 

“Apabila saya sudah masuk dalam industri seni dan berpeluang bersembang dengan Tiara, saya kongsi perkara itu kepadanya dan dia sangat terkejut.

“Sama juga dengan AC, saya beritahu dia saya pernah jaga baju-baju dia dahulu. Apabila dikenang balik, memang seronok. Apa-apapun perwatakan saya dari dahulu sampai sekarang sama sahaja, tetap ceria,” katanya.

Daripada bertugas sebagai kru, Sherry kemudian mula melangkah ke hadapan pentas dan berjinak-jinak dengan dunia lakonan teater pada 2006.

Namun, perjalanan untuk membina nama dan meyakinkan khalayak terhadap bakatnya bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata.

“Saya bina nama dalam industri seni untuk orang terima bakat saya dalam tempoh lama. Saya bukan masuk dengan pakej lengkap atau rupa paras yang konvensional.

“Sebab itu saya sangat menjaga reputasi dan bakat kerana saya mahu orang percaya kepada apa yang saya mampu berikan di atas pentas,” katanya.

Sudah terbabit dalam hampir 10 pementasan teater muzikal, Sherry menyifatkan peluangberaksi dalam Teater Muzikal Mansur & Liu sebagai satu lagi lembaran penting dalam perjalanan seninya, apatah lagi ia menjadi pementasan teater muzikal pertama arahan Datuk M Nasir.

Menerusi pementasan itu, Sherry menggalas watak Mak Inang Fang yang menuntutnya menguasai tiga cabang persembahan iaitu lakonan, nyanyian dan tarian, selain melontarkan dialog dalam bahasa Mandarin.

“M Nasir sangat tenang, dia beri kami ruang untuk melakukan eksperimen tetapi tidaklah terlalu liar. Dia bukan garang seperti disangka ramai orang. Jadi, kami tidaklah sampai terketar-ketar hendak pergi latihan.

“Cuma apa yang sedikit mencabar ialah bahagian saya bernyanyi. Di rumah saya berlatih macam okay. Tetapi, apabila nampak muka M Nasir, saya punya ‘tune’ lari entah ke mana. Masalah juga mahu bernyanyi depan sifu,” katanya.

Sherry pernah menjadi tutor di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang teater. Sherry mula berlakon teater Atap Genting Atap Rumbia pada 2004 arahan Datin Marlia Musa ketika melanjutkan pengajian. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here