KUALA LUMPUR: Selangor FC memiliki tempoh kurang dua minggu yang getir dalam mempersiapkan pasukan untuk mengharungi aksi Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, 8 Ogos ini.
Memetik laporan menerusi Berita Harian ketua jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi menjelaskan tempoh itu akan digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan tahap persembahan Gergasi Merah sebelum menghadapi Harimau Selatan.
Pengendali dari Jepun itu mengakui bahawa dia tidak gembira dengan prestasi pasukannya selepas terikat tanpa jaringan dalam perlawanan pertunjukan menentang pasukan yang dibarisi pemain legenda di rantau Asia, Asia Warriors FC, semalam.
“Saya tidak gembira dengan keputusan. Ia situasi sedikit sukar buat masa ini kerana ada beberapa perubahan dan saya perlu gunakan semua orang. Jadi ini situasi berbeza dengan perlawanan sebenar.
“Namun, perlawanan demi perlawanan kami mesti lebih berkembang. Kami perlu lebih meningkat, lebih bermain secara menyerang dan mempunyai keazaman tinggi.
“Saya tidak boleh katakan berapa peratus (pasukan sudah bersedia), tapi bagi saya ia belum cukup. Jadi kami ada masa lagi kira-kira dua minggu dan kami perlu lakukannya,” katanya.
Selangor membawa masuk beberapa pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN bagi musim 2025/26.
Naib juara Liga Super musim lalu itu sebelum ini mengumumkan pemain kebangsaan Thailand, Kevin Deeromram yang beraksi di bahagian pertahanan kiri sebagai tonggak baharu Gergasi Merah.
Ia bakal menambah kekuatan skuad Kinoshi yang sebelum ini sudah mengumumkan ketibaan lima pemain import baharu termasuk bekas pemain tengah Bolton Wanderers Zach Clough serta Willian Lira, Omid Musawi, Chrigor Moraes dan Picha Autra. – BH Online –
IMedikel TV






