Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah mengesyorkan pertuduhan jenayah terhadap pegawai Imigresen yang menyalahgunakan kuasa meluluskan visa perubatan kepada warga asing dari negara yang tidak mematuhi prosedur yang tepat.
Menurut Pesuruhjaya EAIC Datuk Seri Dr Razali Ab. Malik, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara selaras dengan peruntukan Perenggan 30(1)(c), Akta 700.
“Pelanggaran proses kelulusan visa perubatan itu termasuk semakan terhadap pematuhan tatacara sedia ada, pengambilan keterangan saksi, sitaan documen serta penyediaan syor bersesuaian untuk tindakan selanjutnya
“Oleh itu berlaku salah guna kuasa pegawai Imigresen kerana meluluskan visa itu walaupun menyedari dokumen permohonan yang dikemukakan tidak lengkap dan tidak mematuhi ketetapan dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bil. 10/2001,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, siasatan kes berkenaan dikendalikan oleh Pasukan Petugas Khas di bawah Seksyen 17, Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
EAIC memaklumkan syor pertuduhan jenayah dibuat di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan/atau Akta Pasport 1966 [Akta 150].
IMedikel TV






