Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyediakan khidmat kaunseling kepada pelajar perempuan yang menjadi mangsa penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk dalam kes penyuntingan gambar lucah yang semakin membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata walaupun kementerian belum menjalin kerjasama khusus berhubung isu itu, pihaknya sentiasa bersedia mempertimbangkan keperluan berkenaan sekiranya terdapat permintaan daripada pihak berkaitan.

Katanya, KPWKM mempunyai rangkaian kaunselor bertauliah menerusi agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Jika mereka menjadi mangsa penyalahgunaan teknologi seperti ini, kita bersedia bekerjasama untuk memberikan khidmat kaunseling sekiranya diperlukan.
“Perkhidmatan ini terbuka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan bantuan kerana KPWKM mempunyai kaunselor bertauliah di jabatan dan agensi di bawah kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Nancy berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai lebih 300 pelajar perempuan di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan yang didakwa menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi AI.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, usaha kementerian untuk mengenal pasti individu yang terkesan ketika ini agak sukar kerana pihaknya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai identiti mangsa.

Sehubungan itu, beliau menggesa mangsa atau ahli keluarga yang memerlukan sokongan supaya tampil mendapatkan bantuan kaunseling bagi membantu mereka menghadapi kesan emosi dan psikologi susulan insiden berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan gambar mengaibkan pelajar terbabit bukan sahaja disebarkan dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan, malah didakwa dijual menerusi aplikasi Telegram.
Menurut peguam, Ng Kian Nam, kegiatan itu terbongkar pada Ogos lalu selepas seorang pelajar menemui sebuah telefon pintar tanpa kata laluan di surau sekolah sebelum menjumpai gambar lucah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata, dianggarkan seramai 38,000 wanita bakal menerima manfaat menerusi Program Subsidi Ujian Mamogram susulan peningkatan peruntukan kerajaan kepada RM9 juta dalam Belanjawan 2027 berbanding RM8 juta tahun ini.
Beliau berkata, wanita berusia 40 hingga 70 tahun layak menyertai program itu dengan ujian mamogram diberikan secara percuma kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah.
“Program ini diteruskan dengan sokongan 67 pusat mamogram panel LPPKN yang bertauliah di seluruh negara.
“Sehingga 30 September 2026, seramai 595,143 wanita di seluruh negara telah menjalani saringan mamogram menerusi program ini sejak diperkenalkan pada 2007, dengan 1,334 kes kanser payudara berjaya dikesan.
“Di Pulau Pinang pula, seramai 54,549 wanita telah menjalani saringan, dengan 93 kes kanser payudara dikenal pasti,” katanya.
IMedikel TV






