Home Luar Negara GAZA SEMAKIN HAMPIR KE ARAH KEBULURAN YANG AMAT DAHSYAT

GAZA SEMAKIN HAMPIR KE ARAH KEBULURAN YANG AMAT DAHSYAT

NEW YORK: Gaza kini semakin hampir ke arah kebuluran yang amat dahsyat, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

“Semua bekalan asas hampir habis. Harga barangan keperluan meningkat secara mendadak sejak pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza,” kata Pengarah Komunikasi UNRWA Juliette Touma pada Khamis.

“Ini bermakna bayi dan kanak-kanak akan tidur dalam keadaan lapar. Setiap hari tanpa bekalan asas ini, Gaza semakin hampir ke arah kebuluran yang amat dahsyat,” tambah beliau.

Program Makanan Sedunia sebelum ini membekalkan roti dari 25 kedai roti di seluruh Gaza, namun kesemuanya kini telah ditutup.

Bekalan yang semakin berkurangan dijual pada harga yang terlalu tinggi, dengan satu guni tepung seberat 25 kilogram dijual pada harga US$60 berbanding US$6 sebelum ini, manakala seliter minyak masak dijual pada harga US$10 berbanding US$1.50.

Badan amal perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF) memaklumkan pihaknya menemukan kanak-kanak dan wanita hamil yang mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, manakala ibu menyusu terlalu lapar untuk menyusukan bayi mereka.

Israel telah menutup lintasan sempadan ke Gaza sejak 2 Mac, sekali gus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan ke wilayah itu, yang menyebabkan keadaan kemanusiaan merosot ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Israel juga secara unilateral menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza dan menyambung semula serangan ke atas wilayah itu pada Selasa, 18 Mac, menerusi gelombang serangan udara yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin, termasuk lebih 100 kanak-kanak. -BERNAMA, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here