Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seekor gajah liar jantan yang dipercayai sering menceroboh kawasan ladang kelapa sawit di FGV Aring 3, Gua Musang, Kelantan berjaya dipindahkan oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, kelmarin.
Operasi menangkap gajah liar yang mempunyai ukuran tapak kaki kanan kira-kira 14 inci itu dikendalikan Unit Tangkapan Gajah (UTG) PERHILITAN Kelantan selepas menerima aduan berhubung gangguan haiwan berkenaan di kawasan ladang.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, lokasi ‘loading bay’ untuk menaikkan gajah ke atas lori terletak kira-kira 400 meter dari lokasi haiwan itu ditempatkan selepas berjaya ditangkap.

“Operasi membawa naik gajah ke atas lori mengambil masa lebih empat jam bermula jam 9 pagi dengan bantuan dua ekor gajah denak, Sanum dan Rambai.
“Seramai kira-kira 20 kakitangan daripada PKGK Kuala Gandah, PERHILITAN Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Terengganu terbabit dalam operasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Beliau berkata, sebelum dilepaskan semula ke habitat asal, gajah liar itu dipasang mikrocip bagi tujuan pemantauan selain menjalani pengukuran morfologi.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, PKGK Kuala Gandah kini meneruskan operasi pemindahan gajah liar di Gerik, Perak sebelum bergerak ke Jeli, Kelantan .
IMedikel TV






