Home Sukan FIFA TERIMA 500 JUTA PERMINTAAN TIKET PIALA DUNIA

FIFA TERIMA 500 JUTA PERMINTAAN TIKET PIALA DUNIA

MEXICO CITY: Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan menerima lebih 500 juta permintaan tiket bagi Piala Dunia 2026 sepanjang tempoh 33 hari pembukaan permohonan yang ditutup minggu ini, menandakan satu pencapaian baharu dalam sejarah sukan dunia.

Kejohanan yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, serta menampilkan 48 pasukan buat kali pertama, menarik peminat dari semua 211 negara dan wilayah ahli FIFA, menurut kenyataan badan induk bola sepak dunia itu.

Setiap permohonan disahkan melalui data kad kredit unik, dengan purata 15 juta permintaan tiket diterima setiap hari.

Selain tiga negara tuan rumah, permintaan tertinggi datang dari Jerman, England, Brazil, Sepanyol, Portugal, Argentina dan Colombia.

Perlawanan paling mendapat permintaan tinggi adalah pertembungan peringkat kumpulan antara Colombia dan Portugal di Miami pada 27 Jun.

“Setengah bilion permintaan tiket dalam lebih sebulan adalah lebih daripada sekadar permintaan, ia satu kenyataan global,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui e-mel selewat-lewatnya 5 Februari ini. Sekiranya permintaan melebihi bekalan, tiket akan diagihkan secara pemilihan rawak, menurut FIFA.

Pemohon yang tidak berjaya akan diberi peluang sekali lagi untuk membeli tiket lebih dekat dengan tarikh kejohanan melalui jualan saat akhir secara siapa cepat dia dapat.

FIFA juga mengendalikan pasaran rasmi untuk penjualan semula dan pertukaran tiket bagi pemegang sah, bertujuan melindungi peminat serta tertakluk kepada peraturan persekutuan dan tempatan.

Kejohanan itu bermula pada 11 Jun apabila Mexico menentang Afrika Selatan di Mexico City, manakala final berlangsung pada 19 Julai di New Jersey. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here