Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Fasa pertama perdagangan Tenaga Boleh Baharu (TBB) merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura dengan kapasiti 50MW akan dimulakan pada bulan ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini menjelaskan pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun lalu.
“ENEGEM ini membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan kompetitif.
“TNB sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara,” memetik kenyataan yang dikeluarkan PETRA hari ini.
Terdahulu satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu atau Renewable Energy Supply Agreement (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) yang disaksikan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini
IMedikel TV






