KUALA LUMPUR: Percaturan syarikat produksi, Rumah Karya Citra membongkar mengenai kisah ajaran sesat menerusi drama Bidaah yang ditayangkan di platform penstriman, Viu ternyata membuahkan hasil.
Selepas bersiaran sebanyak 15 episod antara 6 Mac hingga 5 April lalu, drama Bidaah melakar kejayaan luar biasa apabila meraih lebih 2.5 bilion tontonan menerusi platform digital dan media sosial.
Dengan sambutan dan maklum balas positif diterima, penerbit drama Bidaah, Erma Fatima mengakui tidak menyangka naskhah yang pada awal mencetus kontroversi menjadi fenomena, sekali gus menembusi pasaran Indonesia.
“Paling gembira kerana sudah terlalu lama drama Malaysia susah masuk Indonesia. Kali ini, itu yang membuatkan saya bangga untuk Malaysia.
“Sudah lama tidak ada kerana dengan alasan orang Indonesia tak faham bahasa Malaysia dan sebagainya.
“Tapi, kali ini rasanya kita berjaya menembusi pasaran Indonesia. Ini juga peluang untuk drama lain pergi ke tanah seberang,” katanya.
Sementara itu, Erma berkongsi, atas sambutan memberangsangkan diterima, terdapat dua penerbit dari Indonesia menyatakan hasrat untuk mendapatkan hak penyiaran.
“Pihak penerbit daripada dua stesen televisyen (TV) Indonesia mahu dapatkan hak penyiaran drama ini untuk tayangan.
“Drama ini ditayangkan di platform Over The Top (OTT), tapi mereka mahu tayangkan di stesen TV.
“Ada juga beberapa penerbit mahu beli hak penyiaran untuk menjadikan naskhah ini sebagai filem di Indonesia,” katanya.
Bagaimanapun, penerbit dan pengarah sensasi itu masih belum membuat keputusan dan memerlukan masa untuk membuat pertimbangan daripada pelbagai aspek.
“Saya belum buat keputusan untuk memberikannya kepada sesiapa, jadi belum ada lagi keputusan untuk mana-mana pihak.
“Mungkin beberapa bulan juga untuk saya fikir banyak perkara sebelum buat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, drama Bidaah menduduki tempat pertama bagi 10 rancangan utama di platform Viu mengatasi drama lain termasuk dari Korea Selatan.
Bukan sahaja di Malaysia, bahkan Indonesia juga mendapat sambutan yang hangat, selain menjadi carian paling popular di Thailand, Singapura dan Brunei.
Drama arahan Pali Yahya itu mencetuskan sensasi apabila memaparkan babak intim membabitkan watak Walid Muhammad Mahdi Ilman lakonan Faizal Hussein dan Ummi Rabiatul (Vanidah Imran) di mana aktres itu mengusik janggut Walid menggunakan kaki.
Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana), wanita muda dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud) untuk menyertai Jihad Ummah yang juga kumpulan agama dipimpin oleh Walid.
Namun, Baiduri segera menyedari terdapat banyak perkara mencurigakan di sebalik ajaran rohani kumpulan itu, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan membuta tuli.
Kembalinya Hambali (Fattah Amin) dari Yaman, anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Hasnul Rahmat) membuatkan Baiduri semakin yakin bahawa ajaran Jihad Ummah tersasar.
Bersama Hambali, Baiduri bertekad melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam. – HMetro Online –
IMedikel TV






