MADRID: Enam pelumba basikal Jerman dimasukkan ke hospital di Mallorca selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang menjalani latihan, menurut Persekutuan Basikal Jerman dan polis Sepanyol, semalam.
Beberapa pelumba mengalami kecederaan “patah tulang”, tetapi tiada yang mengalami “kecederaan serius”, kata jurucakap Pengawal Civil Sepanyol.
Kemalangan itu berlaku sekitar jam 10:30 pagi di Palma, sebuah bandar di pesisiran pantai, apabila “seorang pemandu berusia 89 tahun terbabas keluar dari jalan raya atas sebab yang tidak diketahui,” tambah jurucakap itu.
Persekutuan Basikal Jerman mengatakan bahawa kesemua pelumba itu adalah pasukan trek kebangsaan dan mereka yang tercedera adalah Benjamin Boos, Tobias Buck-Gramcko, Bruno Kessler, Moritz Augenstein, Louis Gentzik, dan Max-David Briese.
“Pada pagi itu, sekumpulan pelumba memulakan latihan dengan kayuhan dari hotel mereka di Palma dan dilanggar oleh sebuah kereta selepas hanya 2.7 kilometer,” kata Persekutuan Basikal Jerman.
Ini adalah antara beberapa siri kemalangan trafik yang membabitkan pelumba profesional dalam latihan di luar pertandingan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada hari Jumaat, pelumba Itali berusia 19 tahun, Sara Piffer, meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah kereta semasa sesi latihan di Dolomites utara, menurut persatuan pelumba perlumbaan Itali.
Menurut laporan, seorang lelaki berusia 70 tahun yang memandu dari arah bertentangan melanggar Sara dan abangnya, yang hanya cedera ringan, semasa cuba memotong sebuah kenderaan lain. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






