Home Politik EMPAT KETUA CABANG PKR JOHOR MENANG TANPA BERTANDING

EMPAT KETUA CABANG PKR JOHOR MENANG TANPA BERTANDING

347
0

ULU TIRAM: Empat Ketua Cabang PKR di Johor menang tanpa bertanding pada pemilihan ketua cabang parti itu.

Mereka termasuk Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh yang mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang Ledang.

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata individu lain yang menang membabitkan Cabang Ledang, Bakri, Pengerang dan Kota Tinggi.

“Setakat ini hanya empat cabang yang penyandangnya menang tanpa bertanding, lagi 22 Cabang di Johor akan bertanding pada pemilihan kali ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melawat tapak pencawang elektrik di Bandar Tiram di sini, hari ini.

Jimmy Puah yang juga Ahli Parlimen Tebrau, memilih untuk bertanding di Tebrau selepas dua penggal mengetuai Cabang Pulai sejak 2018.

Beliau turut mengingatkan semua calon dan penyokong supaya mengelakkan insiden yang boleh mencemarkan pemilihan parti.

“Selepas pemilihan, semua perlu kembali bersatu demi menguatkan parti.

“Saya lihat kedudukan sebagai Ahli Parlimen Tebrau memberi kelebihan untuk bertanding sebagai Ketua Cabang Tebrau pada pemilihan parti kali ini.

“Ahli parti di kawasan Tebrau itu boleh menilai sendiri ‘track record’ sebagai Ahli Parlimen. Saya pilih bertanding di sini sebab ada permintaan daripada akar umbi.

“Lagi sesuai untuk perkembangan parti sekiranya Ahli Parlimen dan Ketua Cabang Keadilan adalah orang yang sama. Ini juga akan membantu pengaruh parti kita ini lebih meluas di kawasan Tebrau,” katanya.

Jimmy Puah akan berdepan saingan tiga penjuru termasuk cabaran sengit daripada penyandang Ketua Cabang Tebrau yang juga Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.

Pemilihan pimpinan pusat PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat cabang dari 11 hingga 20 April depan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here