BIRMINGHAM, England: Unai Emery percaya lebih banyak lagi akan hadir daripada Aston Villa ketika mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara dengan rasa bangga selepas kemenangan 3-2 mendebarkan ke atas Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, juara Perancis itu mara 5-4 secara agregat untuk layak ke separuh akhir susulan kemenangan 3-1 pada aksi pertama, tetapi kalah di Villa Park buat kali kedua dalam 19 perlawanan.
Anak buah Emery hampir mencetus kebangkitan paling menakjubkan dalam sejarah Liga Juara-Juara.
Selepas ketinggalan 2-0 awal pagi tadi, mereka memerlukan empat gol untuk memaksa masa tambahan tetapi dinafikan oleh beberapa siri tindakan penyelamat oleh Gianluigi Donnarumma selepas gol Youri Tielemans, John McGinn dan Ezri Konsa.
“Saya amat berbangga dengan segala-galanya yang kami lakukan. Untuk berada di tahap ini adalah satu langkah ke hadapan yang saya mahu bina bersama Aston Villa,” kata Emery, yang mengubah nasib Villa sejak mengambil alih pada tahun 2022.
“Hari ini hebat bagaimana kami rasa di sini bersama penyokong kami. Penonton amat fantastik. Mereka menikmatinya seperti kami.”
Kemunculan pertama Villa dalam pertandingan elit Eropah itu sejak 1983 turut termasuk kemenangan bergaya ke atas Bayern Munich pada peringkat kumpulan.
Anak buah Emery berdepan tugas getir untuk menempah tiket ke pertandingan itu sekali lagi musim depan menerusi penamat lima teratas Liga Perdana Inggeris.
Vila menghuni tangga ketujuh tetapi hanya satu mata di belakang pasukan tangga kelima Manchester City dengan berbaki enam perlawanan.
“Menerusi Liga Perdana amat sukar,” jelas Emery. “Ia objektif yang lebih mencabar jika mahu layak sekali lagi ke Liga Juara-Juara.
“Cabaran kami sekarang adalah enam perlawanan terakhir yang perlu diharungi, cuba layak ke Eropah dan cuba ke Liga Juara-Juara. Jika tidak, Liga Europa atau Liga Konferens.” – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






