Home Hiburan ‘SESAL’ PENUH LUKA

‘SESAL’ PENUH LUKA

Lagu tema atau runut bunyi (OST) penting untuk drama dan filem. Justeru, bagi filem Telaga Suriram yang menemui penonton di pawagam mulai 1 Mei depan menampilkan lagu Sesal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Memetik laporan Harian Metro, menariknya, gubahan lagu Sesal ini juga diinspirasikan daripada jalan cerita yang dramatik dan menyayat hati dimuatkan dalam karya terbaharu arahan Osman Ali itu.

Turut menggambarkan unsur ketegangan yang kuat dalamTelaga Suriram, sudah pasti akan membawa pendengar merasai kerinduan serta kesakitan emosinya.

Osman yang juga penerbit Telaga Suriram berkata, dia amat bersyukur dengan pelancaran lagu tema Sesal itu yang dinyanyikan biduanita negara, Siti Nurhaliza.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua berikutan dapat menyaksikan lagu Sesal dilancarkan sebagai lagu tema Telaga Suriram.

“Tidak hanya itu, saya juga berbesar hati kerana penyanyi tersohor negara kita, Siti sudi dan berminat menyanyikannya,” katanya dalam majlis pelancaran lagu Sesal di ibu kota, kelmarin.

Siti pula menjelaskan, latar belakang lagu Sesal itu dan elemen emosi serta jalan cerita yang kuat berjaya menarik minat dirinya untuk menyanyikan lagu berkenaan.

“Lagu Sesal ini mempunyai emosi yang mendalam mengenai penyesalan, dendam dan rintihan seorang ibu yang kehilangan anak. Jadi, saya tertarik untuk menyanyikannya.

‘Sebaik saja mendengar melodi dan memahami liriknya yang ringkas, saya tak nafikan ia terus menyentuh jiwa. Malah, saya juga rakamkan lagu ini kurang dari 30 minit.

“Sebab, melodinya mudah dihayati dan lirik pun senang difahami kerana saya sudah diberikan gambaran berkaitan penceritaan kisahnya merangkumi perasan sedih dan dendam yang ada.

“Oleh itu, boleh dikatakan saya hanya sampaikan lagu Sesal ini mengikut kefahaman sendiri dan kebiasaannya lagu genre balada tidaklah sukar untuk dihayati selepas tahu jalan cerita,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Jerat Percintaan dan Cindai itu, dia juga tidak lepaskan peluang menghasilkan lagu Sesal dalam beberapa versi untuk memudahkan penerbit.

Bagi komposer dan penulis lirik lagu iaitu Nurzaidi Abd Rahman pula berkata, dia mendapat ilham untuk lagu Sesal itu menerusi luahan emosi paling jujur terhadap erti kehilangan dan dendam terpendam.

“Pembabitan dalam penghasilan lagu tema filem Telaga Suriram ini sangat membantu saya untuk memahami dengan lebih dekat pada setiap karakter pelakon dipilih membintanginya.

‘Jadi, saya juga akui lirik lagu Sesal ini ditulis khusus untuk menggambarkan perjalanan emosi setiap watak dalam cerita, sekali gus menunjukkan cerminan tepat mengenai makna sebenar dipaparkan Telaga Suriram,” katanya.

Sehubungan itu, antara barisan pelakon hebat dalam Telaga Suriram seperti Maya Karin, Farid Kamil, Ellie Suriaty Omar, Nabila Huda dan Scha Alyahya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here