KUALA LUMPUR: Meskipun kurang membuat kemunculan dalam mana-mana program yang disiarkan di televisyen (TV) sejak akhir-akhir ini, artis versatil, Elly Mazlein menafikan dakwaan dirinya ‘merajuk’ dalam bidang pengacaraan.
Memetik laporan Harian Metro, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata dia mahu kembali memberi tumpuan kepada bidang nyanyian yang menyebabkan dia memilih untuk memperlahankan kerjaya pengacaraan buat sementara waktu.
“Minta maaf, kalau merajuk di saat-saat sebegini, nampak seperti anak-anak. Jadi, saya lebih kepada mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanyian semula,” katanya pada pelancaran kempen Beli Kain Dapat Emas 2026 anjuran Jakel, semalam.
Bagaimanapun, Elly berkata dia sama sekali tidak merancang untuk ‘bersara’ dalam bidang pengacaraan mahupun lakonan.
“Sebenarnya, saya bukanlah bersara dalam bidang pengacaraan ataupun lakonan. Cuma saya memperlahankan seketika kerana saya mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.
“Saya sudah lama tidak mengeluarkan lagu balada seperti Now U Know yang bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Jadi, saya rasa inilah masa yang paling tepat untuk saya tampil dengan lagu balada.
“Kepada semua peminat yang rindukan saya mengacara atau berlakon di TV, jangan risau,” katanya lagi.
Tidak menolak kemungkinan kembali aktif sebagai pengacara, Elly berkata, buat masa ini dia mahu memberi tumpuan dalam bidang nyanyian.
“Saya akan muncul semula, tetapi buat masa sekarang saya memperlahankan kerjaya dalam bidang pengacaraan dan lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada nyanyian.
“Saya masih akan menerima tawaran sebagai pengacara untuk acara secara ‘one-off’ yang tidak memerlukan komitmen panjang.
“Kalau membabitkan komitmen yang lama, saya tidak akan ambil. Tetapi kalau ‘one-off’, saya akan pertimbangkan,” kongsinya.
Selain mahu memberi tumpuan dalam bidang perniagaan, Elly berkata, dia mahu memberi perhatian kepada beberapa komitmen lain seperti kerjasama dengan jenama tekstil, Jakel termasuk membuat persiapan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
“Saya juga mahu memberi perhatian kepada Jakel dan jenama lain kerana kita tidak lama lagi akan menyambut Ramadan dan Hari Raya. Persiapan pun sudah mula dibuat sekarang.
“Selain itu, saya juga mahu memberi tumpuan kepada perniagaan saya. Insya Allah, saya akan keluarkan (produk) tidak lama lagi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Elly bersama Drama Band bakal muncul dengan single terbaharu mereka berjudul Now U Know.
Elly bakal membuatkan kejutan dengan menampilkan beberapa pelakon terkenal menerusi video muzik yang akan dilancarkan dalam masa terdekat. – BH Online –
IMedikel TV






