Home Buletin Semasa POLIS KESAN RAKAMAN ‘DASHCAM’ KES ANGGOTA DILANGGAR KETIKA KAWAL LALU LINTAS

POLIS KESAN RAKAMAN ‘DASHCAM’ KES ANGGOTA DILANGGAR KETIKA KAWAL LALU LINTAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Polis sedang mengesan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau rakaman lain yang boleh membantu siasatan kes seorang anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tumpat yang dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan tugas kawalan lalu lintas di Palekbang, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.25 petang itu berlaku di Persimpangan Lampu Isyarat Kepulau, ketika anggota polis berusia 22 tahun berkenaan sedang menutup laluan dari arah Morak ke Palekbang bagi memberi laluan kepada rombongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati sebuah Proton Saga yang dipandu wanita tempatan berusia 55 tahun dari arah Morak dipercayai gagal menyedari kehadiran anggota yang sedang menjalankan tugas kawalan lalu lintas.

“Kenderaan itu kemudian melanggar anggota terbabit menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan luaran.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media.

Polis turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai rakaman dashcam atau rakaman lain berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas serta memberi perhatian sepenuhnya terhadap keadaan jalan raya, khususnya ketika operasi khas dan kawalan lalu lintas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here